My Add

Wednesday 28 December 2011

Pertahan madrasah: BBSMS anjur munajat perdana Sabtu ini

ALOR SETAR, RABU, 28 Disember, 2011: Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS) akan menganjurkan program munajat perdana, Sabtu ini bagi memohon dan memperkukuhkan usaha mereka dalam mempertahankan madrasah berusia lebih 100 tahun itu daripada dirobohkan untuk pembinaan sebuah kompleks beli-belah.

Pengerusi jawatankuasa bertindak tersebut, Mansor Ahmad berkata, program itu akan diadakan di madrasah berkenaan bermula pukul 12 tengah hari hingga 5 petang.

"Antara pengisian program adalah solat hajat, kenduri rakyat dan tazkirah mengenai kemuliaan berjihad oleh seorang penceramah yang dijemput khas," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

BBSMS yang dianggotai seluruh ahli jawatankuasa dan kariah madrasah itu dilancarkan Jumaat lepas dan dalam tempoh tiga hari sahaja, mereka menerima lebih 1,200 khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai tanda sokongan terhadap usaha mempertahankan madrasah tersebut.

Mansor berkata, pada program Munajat Perdana Selamatkan Madrasah Salihiah itu nanti, pihaknya turut melancarkan kempen mengumpul tandatangan orang ramai yang menyokong usaha mempertahankan kewujudan madrasah berkenaan.

Katanya, kempen tersebut akan diteruskan sehingga bulan depan dan BBSMS menyasarkan mengumpul kira-kira 10,000 tandatangan untuk disampaikan kepada pihak-pihak berkenaan sebagai bukti bahawa usaha mereka mendapat sokongan orang ramai.

''Semua pihak dijemput hadir beramai-ramai menghadiri majlis ini sekali gus menyatakan sokongan terhadap usaha menyelamatkan Madrasah Salihiah yang bukan sahaja menjadi tempat memartabatkan syiar Islam, tetapi mempunyai nilai warisan yang cukup tinggi," katanya. 

No comments:

Post a Comment