My Add

Monday 26 December 2011

PTP beri bantuan persekolahan pada masyarakat Orang Asli

JOHOR BAHRU, ISNIN, 26 Disember, 2011: Untuk tahun kelima, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) menyumbangkan bantuan kewangan dan keperluan persekolahan kepada anak-anak Orang Asli Kampung Simpang Arang, Gelang Patah.

Program tahunan itu adalah tanggungjawab sosial dan inisiatif jangka panjang PTP untuk menggalakkan pelajar daripada komuniti Orang Asli Kampung Simpang Arang meneruskan persekolahan mereka.

Seramai 200 pelajar sekolah rendah dan menengah daripada komuniti terbabit menerima sumbangan wang tunai dan peralatan persekolahan seperti beg sekolah,
alat tulis, kamus dan kalkulator berjumlah RM50,000 bagi sesi persekolahan tahun
depan.

Program yang dirasmikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Datuk Abdul Aziz Sapian baru-baru ini, turut dihadiri wakil dari Jabatan Kemajuan Orang Asli Johor Bahru, Mohd Firdausi Awang. Abdul Aziz dalam ucapannya meminta inisiatif murni yang dilaksanakan PTP itu seharusnya dicontohi oleh badan-badan korporat lain.

"Saya ingin melihat lebih banyak syarikat lain dalam kawasan pembangunan
Nusajaya membabitkan diri dalam pembangunan sosial masyarakat tempatan.

"Program tahunan yang dilaksanakan oleh PTP ini adalah inisiatif yang amat bagus dan saya difahamkan bahawa ia adalah antara program yang diaturkan PTP untuk manfaat rakyat Negeri Johor, khususnya yang tinggal dalam kawasan pembangunan Nusajaya,” katanya.

Beliau berkata, PTP adalah contoh syarikat korporat yang sentiasa prihatin terhadap keperluan masyarakat setempat dengan melaksanakan pelbagai
program sosial.

Pengurus Besar Jabatan Hartanah, Zon Bebas dan Komunikasi Korporat PTP,
Md Derick Basir, berkata program CSR yang dianjurkannya tertumpu pada
meningkatkan mutu pendidikan, mencintai alam sekitar dan mengurangkan kadar
kemiskinan.

"Program tahunan bersama komuniti Orang Asli Kampung Simpang Arang ini
adalah antara program yang direncanakan oleh pihak pelabuhan dalam usaha
mempertingkatkan mutu pendidikan belia Gelang Patah," katanya.

Usaha PTP dalam menggalakkan anak-anak Orang Asli untuk bersekolah katanya
membuahkan hasil kepada tiga pelajar daripada komuniti terbabit kerana
berjaya meneruskan pelajaran di institusi pendidikan tinggi tempatan.

PTP katanya, turut menganjurkan pelbagai program lain bagi pelajar sekolah
sekitar Gelang Patah termasuk ceramah dan kem motivasi, lawatan sambil belajar
ke Universiti Malaya (UM) dan Putrajaya serta kelas tambahan bahasa Inggeris.

Sementara itu, Seli Wee, 15, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah melahirkan rasa bersyukur dan terima kasih beliau kepada PTP atas sumbangan dan bantuan yang diberikan.

"Bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban keluarga saya. Saya tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahan yang akan datang. Saya bercita-cita untuk menjadi seorang yang berjaya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment