My Add

Thursday 22 December 2011

Rawat injap bocor tanpa bedah

DR. Robaayah Zambahari menunjukkan alat terbaru rawatan bagi pesakit jantung di IJN, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN

 Oleh MAHIRAH ZAKARIA
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 22 Disember, 2011: Institut Jantung Negara (IJN) hari ini memperkenalkan kaedah baru bagi pesakit yang mengalami masalah kebocoran injap 'mitral' jantung tanpa melibatkan proses pembedahan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Dr. Robaayah Zambahari berkata, kaedah terbaru yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) itu dikenali sebagai 'Mitra Clip' dan hanya mengambil masa singkat untuk proses penyembuhan.

"Proses penyembuhan melalui kaedah ini hanya mengambil masa dua hingga empat hari berbanding kaedah pembedahan atau surgeri dan kesannya amat baik berbanding pembedahan atau surgeri.

"Mitra Clip akan dimasukkan ke dalam jantung melalui salur darah di celah kelengkang pesakit untuk memastikan darah mengalir melalui saluran yang betul tanpa mengakibatkan luka besar seperti pembedahan lain," katanya pada sidang akhbar ketika memperkenalkan kaedah tersebut di sini semalam.

Sejak 14 hingga 20 Disember yang lalu, IJN telah menjalankan proses rawatan ini kepada tujuh orang pesakit yang kos rawatannya ditanggung hasil sumbangan daripada Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) yang berjumlah RM1 juta.

Hadir sama, Pakar Klinikal Kardiologi, Dr. Akmal Hakim Arshad dan Penasihat Kordiologi, Datuk Dr. Amin Ariff Nuruddin.

Kebocoran injap mitral berlaku apabila kelopak injap tidak berfungsi secara normal dan menyebabkan darah tidak mengalir melalui arah saluran jantung yang betul.

Tambahnya, pesakit yang menghidap penyakit kebocoran injap mitral ini boleh datang ke IJN atau hospital berdekatan untuk menjalani pemeriksaan sebelum mendapatkan rawatan 'Mitra Clip'.

"Rawatan ini tidak sesuai untuk semua golongan peringkat umur. Oleh itu, pesakit perlu datang untuk menjalani pemeriksaan terlebih dahulu bagi memastikan kaedah ini sesuai untuk mereka atau tidak," katanya.

No comments:

Post a Comment