PASIR MAS SANTU, 03 Disember, 2011: PERTUBUHAN Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mahu Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas ke atas seorang penceramah Pas yang menyamakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan nabi.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, kenyataan yang dibuat oleh Shamsul Zaman Sukri atau ‘Ustaz Budak’ ketika ceramah tersebut amat merbahaya kerana ia boleh memesongkan akidah umat Islam.
Malah beliau menyifatkan semua itu berpunca daripada sifat taksub yang ditanam oleh pemimpin Pas kepada ahli-ahli sehingga boleh membawa kesesatan.
“Pada ceramah tersebut dia mengggunakan hadis ‘ulama adalah perwaris nabi’ untuk membenarkan hujahnya bahawa Nik Aziz itu nabi. Perkara ini amat salah dan bertentangan dengan akidah umat Islam.
“Hujah tersebut tidak boleh digunakan sama sekali untuk menegakkan hujah bahawa Nik Aziz itu nabi dan saya percaya Nik Aziz sendiri tidak setuju dengan Ustaz Budak ini.
“Saya minta MAIK mengambil tindakan tegas kerana ada bukti rakaman video ceramah itu seperti disiarkan laman portal detikperubahan.com,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan banjir kepada 2,000 mangsa dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong di Sekolah Kebangsaan Gelang Emas di sini, hari ini.
Bantuan sama juga disampaikan kepada 2,000 lagi penduduk di kawasan DUN Chetok dan Pengkalan Pasir.
Sebelum ini, sebuah portal berita detikperubahan.com mendedahkan rakaman video ceramah Shamsul Zaman yang mengiktiraf Nik Abdul Aziz sebagai nabi.
Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, tindakan tersebut turut membuktikan bahawa Pas telah menggunakan sepenuhnya agama untuk kepentingan politik mereka.
“Ini merupakan satu contoh, penceramah Pas bercakap merapu ikut sedap mulut disebabkan percaya mereka lebih Islam daripada orang lain.
“Orang seperti ini perlu dikenakan tindakan supaya dijadikan pengajaran,” katanya. UM
No comments:
Post a Comment