My Add

Tuesday 17 January 2012

100 buah kedai D'Mart milik FTSB bakal berwajah baru

ISHAK Radzi (tiga dari kanan) bersama sebahagian pegawainya pada Perasmian D'Mart Tenggaroh 2 oleh Felda Trading di Bandar Tenggaroh, Kota Tinggi, Johor, semalam.


KOTA TINGGI, SELASA, 17 JanUARI, 2012: Sebanyak 100 buah kedai runcit serbaneka D'Mart yang dimiliki oleh Felda Trading Sdn. Bhd. (FTSB) di seluruh negara bakal diubah imejnya pada tahun ini setelah usaha berkenaan dilihat mampu menaikkan 20 peratus hasil jualan.

Pengurus Besar FTSB, Ishak Radzi berkata, sejak usaha penambahbaikan tersebut dimulakan pada 2010, pihaknya telah pun berjaya menaik taraf 39 buah kedai D'Mart sebagai langkah permulaan.

Katanya, proses perubahan imej terbabit melibatkan dua aspek utama iaitu suasana bekerja dan juga kepelbagaian jenis produk yang dijual di kedai berkenaan.

"Barang-barang yang dijual di sini lebih teratur dan bersistematik serta premis dicat dengan warna yang lebih terang dan ceria.

"Selain itu, para pekerja juga diberikan uniform baru yang lebih kemas di samping diberikan kursus-kursus tertentu bagi memantapkan hasil jualan," katanya ketika merasmikan wajah baru Kedai D'Mart, Felda Tenggaroh 2, di sini.

Menurut Ishak, tahun ini FTSB menyasarkan lebih banyak kedai tersebut dinaik taraf untuk memberi keselesaan kepada pelanggan.

Tambah beliau, melalui kajian yang dijalankan, rata-rata pelanggan berpuas hati dengan imej baru yang diperkenalkan.

Bukan itu sahaja, pada tahun lalu, FTSB juga berjaya menaik taraf sebanyak 127 buah kedai runcit di bawah kelolaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

"Pada tahun ini, selain menyasarkan penambahbaikan 100 kedai D'Mart, pada masa yang sama kami juga berusaha mengubah imej 140 kedai runcit lagi di bawah SKM di seluruh negara.

"Kami juga mengusahakan pembungkusan semula beberapa jenis produk yang diberi jenama Coop 1Malaysia untuk dijual di kedai D'Mart dan kedai runcit SKM," jelas beliau.

Ujarnya, produk Coop 1Malaysia bukan sahaja mengekalkan kualiti setanding produk jenama terkenal, bahkan ia menawarkan harga yang lebih murah iaitu antara 30 hingga 40 peratus dan tidak perlu diragui status halalnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment