My Add

Thursday 5 January 2012

135 ADUN BN berkampung di Perak

IPOH, KHAMIS, 05 Januari, 2012:. Seramai 135 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan mengikuti program pemukiman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di beberapa kawasan di utara negeri ini selama tiga hari dua malam mula 12 Januari ini.

Pengerusi Kelab ADUN BN (BBBBC), Datuk Nadzri Ismail berkata, setiap wakil rakyat akan menetap bersama keluarga angkat masing-masing di 135 kampung terpilih melibatkan lapan bahagian utama iaitu Larut, Parit Buntar, Bagan Serai, Bukit Gantang, Taiping, Padang Rengas, Beruas dan Lumut.

"Kita memilih kawasan utara ini kerana ia kurang menyebelahi pihak kerajaan. Justeru, tugas utama ADUN berkenaan adalah meneliti kawasan yang diduduki selain mengenal pasti masalah-masalah masyarakat setempat.

"Dalam program ini, kita mengandaikan bahawa seseorang ADUN itu mampu pergi ke 20 rumah di sekelilingnya, maka jumlah keseluruhan rumah yang akan dilawati oleh semua ADUN BN adalah kira-kira 2,700 unit," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, setiap ADUN juga dikehendaki mengadakan program untuk rakyat yang antara lain bertujuan menerangkan tentang dasar-dasar kerajaan dan bagi setiap penganjuran tersebut, pihaknya menyasarkan kehadiran orang ramai sebanyak 500 orang.

Tambah beliau, setiap ADUN juga diminta mengenal pasti mana-mana pemimpin tempatan atau ahli masyarakat yang berpengaruh untuk mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 13 Januari ini.

"Pada pertemuan itu, kita menyasarkan setiap kampung dapat menghantar 80 orang wakil dan separuh daripadanya terdiri daripada orang muda.

"Melalui pertemuan ini, mereka yang dipilih itu diharap dapat menjelaskan dasar dan polisi kerajaan apabila turun ke peringkat akar umbi," katanya.

Tambah beliau, program pemukiman tersebut juga antara lain membolehkan hubungan wakil rakyat BN dengan rakyat setempat menjadi bertambah erat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment