My Add

Thursday 5 January 2012

903 kilogram syabu RM630 juta dirampas

ZAINUL Abidin Taib (tiga, kiri) bersama Ketua Penolong Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Narkotik Bukit Aman, SAC Zakaria Sudin (empat, kanan) menunjukkan sebahagian syabu yang dirampas pada sidang media di KLIA, semalam.

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN 

SEPANG, KHAMIS, 05 Januari, 2012: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas lima juta pil jenis syabu seberat 903 kilogram (kg) yang jika diproses semula mampu menghasilkan sebanyak 18 juta pil baru bernilai RM630 juta, pada 31 Disember lalu.

Menurut Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Zainul Abidin Taib, rampasan terbesar itu dilakukan di susur keluar tol Bukit Tagar, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke utara dari Klang, pukul 8.30 malam.

“Kejayaan itu diperoleh melalui penahanan sebuah van dan sebuah kereta Mitsubishi Triton di susur keluar tol lebuh raya berkenaan. Penahanan itu membawa kepada penangkapan dua lelaki tempatan dan masing-masing seorang warga Taiwan dan Singapura.

“Hasil pemeriksaan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mendapati van tersebut membawa 50 buah kotak mengandungi 5,000 botol berisi pil-pil syabu berkenaan.

“Kesemua pil yang disyaki syabu seberat 903.2 kilogram itu bernilai kira-kira RM15 juta tetapi boleh diproses semula dan dijual pada harga RM35 sebiji,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini semalam.

Zainul Abidin memberitahu, pihaknya juga berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 10.2 kg. syabu dianggarkan bernilai RM2.5 juta yang disorok di dalam bagasi penumpang di KLIA pada 1 Januari lalu, pukul 8.45 pagi.

“Kes tersebut diperolehi melalui penahanan tiga lelaki berusia 20-an yang baru tiba dari Istanbul, Turki oleh pegawai pemeriksaan penumpang. Seorang warga Maghribi dan dua lagi warga Afghanistan.

“Hasil pemeriksaan mendapati setiap bagasi penumpang mengandungi ketulan serbuk putih seberat 3.4 kg. yang disorokkan dalam sebuah ruang khas dengan ditutupi pelapik keras,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga suspek juga cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menukar bagasi masing-masing bagi mengelak daripada dikesan.

Sehubungan itu, beliau berkata, kesemua suspek berkenaan ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment