My Add

Monday 23 January 2012

300,000 rakyat Kelantan layak terima BR1M

KOTA BHARU, ISNIN, 23 Januari, 2012: Dianggarkan 300,000 rakyat Kelantan layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM500 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, setakat ini 5,000 keluarga telah menerima bantuan tersebut melibatkan peruntukan RM2.5 juta.

"Proses pengagihan bantuan itu berjalan lancar dan tiada sebarang masalah. Yang belum dapat harap bersabar kerana masa pengagihan sehingga hujung Mac, sekiranya ia tidak selesai, kita pasti kerajaan akan melanjutkan masa," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas majlis pengagihan BR1M kepada 347 penerima melibatkan peruntukan RM173,500 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mulong di sini yang turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK), Datuk Makhtar Mustapha dan Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Mohd. Fauzi Ismail.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, agihan bantuan itu tertakluk kepada jadual yang ditetapkan melibatkan pemimpin tempatan yang perlu memberi sedikit sebanyak taklimat kepada rakyat mengenai usaha kerajaan membantu mereka.

Sehubungan itu, beliau berharap, rakyat Kelantan bersyukur dengan bantuan yang diberikan kerana ia melibatkan peruntukan wang besar di sebalik kebimbangan terhadap keadaan ekonomi dunia.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, parti pembangkang, termasuk Pas akan sentiasa mencari jalan untuk menanam kebencian dalam kalangan rakyat kepada Kerajaan Pusat dengan menafikan segala kemajuan yang dilaksanakan, termasuk di Kelantan supaya mereka boleh berkuasa.

"Tugas mereka ialah supaya rakyat benci kerajaan, kalau rakyat sayang kerajaan maka mereka terkapai-kapai, berasa kelam kabut. Maka tugas mereka ialah untuk meningkat dan menimbulkan kebencian dalam kalangan rakyat.

"Maka itu, mereka dakwa kita sekat, negara nak bankrap, ini semua fitnah yang dilemparkan. Mana kita nak bankrap, kalau bankrap macam mana kita nak bayar gaji kakitangan kerajaan, juga dengan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) melibatkan tambahan gaji," ujar Mustapa . - UTUSAN

No comments:

Post a Comment