My Add

Wednesday 25 January 2012

6 pencarum didenda kerana tipu pengeluaran KWSP

KUALA LUMPUR, RABU, 25 Januari, 2012: Enam ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah diambil tindakan undang-undang kerana kesalahan menipu pengeluaran simpanan antara Oktober dan Disember lalu.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, kesemua mereka didapati bersalah dan didenda RM5,900 oleh mahkamah mengikut Seksyen 59, Akta KWSP 1991 atas kesalahan melibatkan pengeluaran perumahan dan hilang upaya.

"Mengikut Akta KWSP, mereka yang didapati bersalah melakukan penipuan atau cubaan menipu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-dua sekali," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, KWSP juga telah menfailkan 52 kes saman atas kesalahan yang sama di mahkamah bagi tempoh Januari hingga Disember 2011.

"Pada 2011, sejumlah 47 ahli telah didapati bersalah oleh mahkamah di bawah seksyen yang sama kerana menipu pengeluaran perumahan, hilang upaya dan kesihatan manakala 13 kes lagi sedang dalam tindakan mahkamah," katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli-ahli KWSP agar tidak dipengaruhi sindiket yang menawar untuk membantu mereka mengeluarkan simpanan KWSP secara penipuan kerana ia adalah kesalahan yang serius dari segi undang-undang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment