My Add

Wednesday 25 January 2012

NFC: Ketua Audit Negara perjelas laporan

KUALA LUMPUR, RABU, 25 Januari, 2012: Jabatan Audit Negara (JAN) menjelaskan bahawa Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010 tidak ada menyebut perkataan-perkataan seperti kucar kacir, "in a mess" ataupun penyelewengan dalam laporan audit terhadap projek Pusat Fidlot Nasional (PFN) di Gemas, Negeri Sembilan.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam kenyataan hari ini berkata, perkataan-perkataan ini telah digunakan oleh pihak-pihak lain dan JAN tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan.

Beliau berkata, pada pendapat JAN, sama ada terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam pelaksanaan projek itu, terpulanglah kepada penyiasatan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya lagi, pada perspektif audit, sememangnya terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek itu yang menyebabkan kerajaan menangguhkan pelaksanaannya pada Mei 2009, iaitu sebelum pengauditan dijalankan, sehingga satu kajian daya maju dan model perniagaan dijalankan.

"Perkara ini ada dinyatakan dalam LKAN 2010. Ia membayangkan kerajaan Malaysia sememangnya sedar akan kelemahan-kelemahan dalam pelaksanaan projek ini dan telah mengambil tindakan untuk menentukan hala tuju projek," katanya.

Ambrin berkata, pengauditan bagi projek PFN dibuat secara bebas dan profesional tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak dan sebarang kenyataan yang mempertikaikan kewibawaan dan integriti juruaudit JAN adalah
dikesali. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment