My Add

Tuesday 24 January 2012

Bantuan rumah Orang Asli dinaikkan RM40,000

JERANTUT, SELASA, 24 Januari, 2012: Bermula tahun ini, peruntukan bantuan rumah bagi Orang Asli dinaikkan daripada RM33,000 kepada RM40,000 seunit, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. 

Beliau berkata, setiap rumah akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk bekalan air dan elektrik.

Sebanyak RM300 juta diperuntukkan untuk membina rumah Orang Asli di seluruh negara tahun ini, katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan penduduk Orang Asli, di Kampung Tembeling Tengah, dekat sini.

Katanya, kerajaan juga sedang menggubal undang-undang bagi mengeluarkan geran tanah kepada Orang Asli. 

"Apabila diluluskan di Parlimen nanti, mereka akan memiliki geran tanah sendiri apabila tanah itu diwartakan menjadi milik mereka," katanya. 

"Ia juga secara tidak langsung dapat mengelak mereka daripada mendakwa bahawa sebahagian hutan tanpa sempadan itu adalah hak milik mereka," katanya. 

Mengenai isu lain berkaitan kementeriannya, Mohd Shafie berkata, 1,000 lagi kelas Taman Bimbingan (Tabika) Kemas akan dibuka di seluruh negara tahun ini bagi memenuhi keperluan berikutan sambutan memberangsangkan daripada ibu bapa. 

Katanya, kelas terbabit akan dikendalikan tenaga pengajar yang memiliki diploma, manakala tenaga pengajar sedia ada yang belum memiliki kelayakan serupa akan dihantar mengikuti kursus yang sewajarnya. 

"Kerajaan berharap dengan usaha itu tenaga pengajar Tabika Kemas akan lebih terlatih bagi membentuk pelajar berkualiti daripada peringkat prasekolah," katanya. 

Ladang kayu gaharu, rotan untuk Orang Asli Kelantan

Di GUA MUSANG, lebih 7,000 penduduk Orang Asli khususnya di sekitar Gua Musang akan menerima pendapatan lumayan apabila terbabit dengan projek ladang kayu gaharu dan rotan tidak lama lagi.

Menurut Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah , setiap mereka akan diberi saham dalam projek itu menerusi penubuhan koperasi.

"Walaupun projek itu masih dalam cadangan, tetapi kerajaan sedang proses untuk meluluskan peruntukan untuk dilaksanakan di kawasan yang sudah dikenal pasti sesuai untuk tujuan berkenaan.

"Masalah tanah tidak timbul kerana saya sudah berbincang dengan kepimpinan kerajaan negeri dan sedia meluluskan mengikut keluasan yang dipohon,” katanya pada majlis Mesra Bersama Penduduk Orang Asli di Dewan Jubli Perak di Kuala Betis, di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mat Yusoff Ab. Ghani; ADUN Galas, Ab Aziz Yusof dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu, Faridah Mat. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment