My Add

Thursday 19 January 2012

Beginilah aksi rempit cabar polis

KLIP video yang menyiarkan aksi mat rempit menunggang motosikal secara berbahaya di laman YouTube.

Oleh HAMDAN TAWADI

BATU PAHAT, KHAMIS, 19 Januari, 2012: Penyalahgunaan laman video sosial, YouTube untuk mempromosikan budaya merempit sudah lama berleluasa malah ia kini sudah ke tahap cuba memperlekehkan pihak polis.

Bukan isu lama atau baru yang menjadi persoalan, tetapi amalan itu berterusan hingga kini dan cuba mencabar pihak berkuasa sehingga perlu diberi perhatian serius.

Aksi yang dipaparkan dalam YouTube itu dilihat cuba merendah-rendahkan martabat pihak berkuasa apabila klip video itu dimulakan dengan tayangan logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan perkataan Parit Raja Supported (menyokong) sebelum aksi rempit ditayangkan.

Klip video itu antara lain menayangkan aksi mat rempit melakukan tindakan berbahaya menunggang motosikal sambil tayar hadapan tidak menyentuh tanah atau 'pacak'.

Sebuah kereta peronda polis turut ditayangkan dipandu dari arah bertentangan dengan penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya itu.

Klip video bertajuk, Aksi Rempit Parit Raja berdurasi tiga minit 13 saat itu boleh dilayari dihttp://www.youtube.com/watch?v>CV10l4ezrl0.

Selain aksi tersebut, pelbagai klip video aksi rempit dari seluruh negara dimuat naik di laman YouTube, antaranya Vespa Rados Kelantan, Pacak Lepas Tangan, Bike Stunt Crazy, Pacak Ipohdan Rempit Muor.

Klip Vespa Rados Kelantan misalnya, memaparkan aksi 'pacak' menggunakan motosikal jenis Vespa yang ditayangkan dalam warna hitam putih serta diiringi lagu 60-an, Oh Fatimah.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim menyifatkan tindakan itu sebagai penyalahgunaan laman sosial di internet untuk bermegah-megah dalam kalangan golongan mat rempit.

"Generasi muda kini dibimbangi menjadikan laman seperti ini untuk bermegah-megah dan mencabar mat rempit di kawasan lain bagi menunjukkan siapa atau kumpulan mana lebih handal," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar pengamal undang-undang dan pembuat polisi memikirkan mekanisme sesuai bagi membolehkan pendakwaan dilakukan berdasarkan klip video itu.

"Orang ramai juga boleh klik pada butang flag di bahagian bawah klip video YouTube itu menandakan kandungan video sebagai tidak sesuai.

"Jika ramai klik pada butang flag itu, semakin tinggi kemungkinan pengendali YouTube akan menarik balik klip video daripada dipaparkan," katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment