My Add

Wednesday 25 January 2012

Bengkel bina kerjaya UIAM


SEBAHAGIAN pelajar SMK Taun Gusi yang mengikuti bengkel bina kerjaya anjuran mahasiswa UIAM di Kota Belud, baru-baru ini.

Oleh MABULMADDIN SHAIDDIN 

KOTA BELUD, RABU, 25 Januari, 2012: Meneruskan tradisi kecemerlangan bersama masyarakat, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengadakan bengkel membina kerjaya bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, dekat sini baru-baru ini.

Biarpun ia merupakan program setengah hari, penganjuran bengkel di dewan makan asrama sekolah itu ternyata menyemarakkan semangat pelajar sekolah untuk meningkatkan kecemerlangan diri.

Lebih 100 pelajar SMK Taun Gusi menyertai bengkel tersebut yang bertujuan memberi pendedahan dan menambah pengetahuan pelajar di luar bandar mengenai peluang kerjaya.

Pegawai pengiring rombongan UIAM, Azilee Abd. Aziz berkata, bengkel tersebut bertujuan untuk membuka minda para pelajar yang bakal melangkah ke institusi pengajian tinggi (IPT) selain memberi bimbingan kerjaya secara sistematik.

“Kita ingin berkongsi maklumat dengan para pelajar dalam bidang yang mereka minati dan jurusan sepatutnya mereka ketahui sebelum melangkah ke menara gading,” katanya di sin, baru-baru ini.

Fasilitator bengkel terdiri daripada 24 penuntut UIAM yang diketuai oleh Mohd. Zulhelme Mohd. Yusof dan dibantu oleh Felo Mahallah Ali Ibni Abi Talib, Mohd. Shukor Ahmad.

Azilee yang juga Felo Mahallah Rugayyah di UIAM berkata, meskipun bengkel tersebut diadakan hanya setengah hari, namun objektif memberi maklumat kepada pelajar berjaya dicapai.

“Walaupun pada mulanya komunikasi antara kami agak terganggu kerana laras bahasa, namun ia tidak menjadi penghalang apabila lama-kelamaan kami semakin mesra,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar Pra-U2 Ekonomi, Mohd. Azly Rudin berkata, penganjuran bengkel tersebut membolehkannya mendapat input awal bagi merancang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Rombongan mahasiswa dari UIAM ini bukan sahaja memberi penerangan yang cukup jelas, malah membuatkan saya berasa sangat teruja untuk belajar di universiti,” katanya.

Bagi Maslianah Jani, pelajar Pra-U2 Geografi turut gembira dan bertuah kerana mendapat bimbingan daripada pihak UIAM.

“Para fasilitator tidak lokek memberi maklumat dan ilmu. Mereka menerangkan cara-cara belajar yang berkesan dan memberi motivasi agar kami dapat melangkah ke UIAM,” katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment