My Add

Wednesday 25 January 2012

Penuntut digalak manfaatkan Laman Ilmu dan Ceria UMS


KAMARUZAMAN Ampon menurunkan tandatangan pada plak sebagai tanda perasmian padang golf mini PPIB, UMS, di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

KOTA KINABALU, rabu, 2 JanUARI, 2012: Warga kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) diminta memanfaatkan pembinaan kemudahan yang disediakan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) bagi merangsang keseimbangan fizikal dan mental mereka.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman Ampon berkata, pusat tersebut telah merealisasikan konsep kampus ceria UMS dengan mewujudkan laman ilmu dan laman ceria.

''Di ruang laman ilmu, ia memiliki galeri pameran pelbagai bahan penerbitan sesuai untuk membuat imbasan intelek manakala laman ceria pula terdapat padang golf dan gelanggang permainan. Ia untuk beriadah menyegarkan minda," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan mini padang golf di PPIB di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pendaftar UMS, Datuk Abdullah Mohd. Said dan Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL), Prof. Dr. Shariff A.K Omang.

Padang golf mini PPIB dibina pada Julai 2011 di halaman seluas kira-kira 0.2 hektar, berkonsepkan Chip & Putt 18 lubang dengan anggaran kos RM2,000.

Dalam ucapannya, Kamaruzaman berkata, warga kampus diharap dapat memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan dalam kampus itu untuk pembelajaran dan rekreasi.

Sementara itu, Dekan PPIB, Prof. Madya Dr. Ismail Ali berkata, laman ilmu dibuka bertujuan memberikan persekitaran yang selesa di kalangan pelajar untuk berbincang dan membaca secara santai.

Katanya, laman itu memiliki galeri pameran buku-buku hasil kajian kalangan tenaga akademik PPIB, skrin televisyen yang memaparkan pelbagai dokumentari, gambar-gambar kegiatan akademik serta ruang legar untuk warga kampus berinteraksi dan duduk.

''Laman ceria yang mengandungi padang golf mini, gelanggang bola tampar dan sepak takraw dibuka bagi memberikan ruang kepada seluruh warga kampus UMS baik kakitangan mahupun pelajar untuk melibatkan diri dalam kegiatan senaman khususnya pada waktu petang," ujarnya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment