My Add

Wednesday 25 January 2012

Contohi semangat pendekar

NAJIB Tun Razak menerima ikrar taat setia dari tiga pertubuhan seni mempertahankan diri pada Malam Pendekar 1Malaysia di Anjung Times Square, Jalan Dato Kramat, Pulau Pinang, malam tadi. Turut hadir Rosmah Mansor dan Omardin Mauju. - BERNAMA
PULAU PINANG, RABU, 25 Januari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semangat kesetiaan dan disiplin tinggi yang ada pada pertubuhan seni mempertahankan diri patut dijadikan contoh untuk mengekalkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Perdana Menteri berkata, meskipun pertubuhan-pertubuhan tersebut diasaskan oleh kaum tertentu tetapi mereka tidak pernah bermusuhan, sebaliknya sentiasa hormat-menghormati di antara satu sama lain.

"Kita tubuhkan silat bukan kerana menganggap taekwondo sebagai musuh. Taekwondo ditubuhkan pula bukan kerana silambam musuh mereka. Namun, kita menubuhkannya sebab mahu mewujudkan nilai-nilai murni kepada rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Malam Pendekar 1Malaysia di Dataran Anjung, Penang Times Square di sini malam tadi.

Perhimpunan anjuran Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) itu disertai lebih 10,000 orang daripada kira-kira 80 pertubuhan seni mempertahankan diri pelbagai kaum dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Penaung PSSLM, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Mahaguru PSSLM, Tan Sri Omardin Mauju.

Najib yang juga Ulul Amri III PSSLM memberitahu, semangat seperti itu juga yang ditunjukkan oleh pemimpin pelbagai kaum semasa menuntut kemerdekaan negara dulu.

"Mereka pemimpin pelbagai kaum sanggup mengetepikan segala perbezaan kerana bagi mereka tiada yang lebih penting melainkan mencapai bangsa merdeka dan berjaya," ujarnya.

Pada majlis itu, Najib turut menganugerahkan Tokoh Silat kepada tiga individu yang telah meninggal dunia dan memberi sumbangan besar dalam seni mempertahankan diri iaitu Sheikh Gulameh Sheikh Ahmad Meah dari Persatuan Seni Silat Penaga; Maria Pakian dari Persatuan Nillai Kalakki Silambam dan Datuk Peng Chye Khim yang merupakan Ketua Jurulatih Peng Shaolin. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment