My Add

Wednesday 25 January 2012

Saya rasa seperti hendak mati - Nenek

ASMAH Abdul Hakim menunjukkan bagaimana dia dicekik suspek ketika sedang menyapu sampah di halaman rumah di Jalan Raja Mahmud, Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam.

Oleh ASSIM HASSAN

KUALA LUMPUR, RABU, 25 Januari, 2012: Nenek kanak-kanak yang dijadikan tebusan selama enam jam di rumah mereka di Kampung Baru di sini semalam, menyangka akan menemui ajalnya setelah dicekik oleh suspek dengan kuat kira-kira tiga minit.

Asmah Abdul Hakim, 70, memberitahu, ketika itu dia hanya ingat mati kerana merasa sukar untuk bernafas.

"Saya sedang menyapu di halaman rumah apabila dicekik suspek yang tiba-tiba muncul dari arah belakang. Dalam keadaan sakit saya cuba menjerit meminta tolong tetapi tidak berdaya.

"Saya cuba melepaskan diri tetapi dia cekik lebih kuat sebelum suspek menolak sehingga jatuh terlentang ke tanah. Dalam detik itu, memang saya rasa seperti hendak mati," katanya ketika ditemui di rumah mereka di sini hari ini.

Menurut Asmah, ketika itulah menantunya, Santi Ngadiono, 30, yang melihat kejadian itu dari dalam rumah berlari mengikut pintu belakang untuk menyelamatkannya.

Katanya, suspek bagaimanapun meluru masuk ke dalam rumah dan terus mengambil pisau di dapur dan menjadikan anak Santi, Fifi Ramadhani Safruddin, 10, sebagai tebusan.

"Santi kemudian memapah saya untuk berehat di rumah salah seorang jiran. Ekoran itu, saya cedera di leher dan pinggang kerana terjatuh," ujarnya.

Dalam kejadian pukul 9.50 pagi itu, Fifi Ramadhani terpaksa mengharungi detik cemas selama enam jam apabila menjadi tebusan seorang lelaki dipercayai penagih dadah di rumah mereka di Jalan Raja Mahmud, Kampung Baru di sini.

Fifi Ramadhani terkejut, trauma

Fifi Ramadhani ditemani ibunya, Santi Ngadiono ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur, semalam.

Kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa tebusan seorang lelaki yang disyaki penagih dadah di rumah mereka di Jalan Raja Mahmud, Kampung Baru di sini semalam, masih lagi dalam keadaan terkejut dan trauma ekoran kejadian menimpanya.

Ibu mangsa, Santi Ngadiono, 30, berkata, dia yang menemani Fifi Ramadhani Safruddin, 10, di Wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dapat merasakan perasaan anak sulungnya itu kerana sering terjaga daripada tidurnya malam tadi.

Jelas Santi, anaknya itu juga tidak banyak bercakap dan hanya mendiamkan diri.

Santi berkata, dia sendiri mengelak untuk bertanyakan peristiwa hitam itu bagi mengelak Fifi Ramadhani kembali mengingatinya.

"Ekoran kejadian itu, Fifi mengalami luka kecil di leher dan perut akibat kesan pisau yang dihunus oleh suspek ketika dijadikan tebusan.

"Kaki Fifi turut mengalami kesan calar dan lebam akibat diseret lelaki tersebut dari ruang tamu ke dalam bilik," katanya.

Dalam kejadian pukul 9.50 pagi itu, Fifi Ramadhani terpaksa mengharungi detik cemas selama enam jam apabila menjadi tebusan seorang lelaki dipercayai penagih dadah di rumah mereka di Jalan Raja Mahmud, Kampung Baru di sini.

Santi memberitahu, setakat ini, Fifi Ramadhani diminta oleh pegawai perubatan supaya berehat di HKL dan menunggu pemeriksaan pakar sebelum dibenarkan pulang.

Dia berharap selepas menjalani pemeriksaan dan rehat secukupnya, anaknya itu dapat kembali pulih.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi hari ini berkata, kes tersebut telah selesai berikutan kematian suspek. - UTUSAN





No comments:

Post a Comment