My Add

Friday 6 January 2012

Isu Anwar: Penjaja, pengusaha teksi bimbang

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 06 Januari, 2012: Penjaja, peniaga kecil dan pengusaha teksi di ibu negara dan Selangor bimbang perhimpunan haram 'Kempen Bebaskan Anwar 901' boleh mencetuskan huru-hara, sekali gus merugikan mereka.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Aslah Abdullah berkata, perhimpunan itu akan menyebabkan banyak jalan masuk ke ibu kota ditutup dan akan memungkinkan kesesakan berlaku.

"Bila perkara ini berlaku, sudah pasti orang ramai akan mengelak menggunakan teksi dan ia akan menyebabkan kerugian besar kepada para pengusaha teksi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, PKR bertekad mengumpulkan seramai 100,000 penyokong di perkarangan Mahkamah Tinggi di Jalan Duta pada 9 Januari ini bagi menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Aslah, perhimpunan itu tidak membawa manfaat kepada rakyat sebaliknya hanya menyusahkan mereka.

"Rakyat semakin sukar untuk mencari makan kerana sikap mereka (pembangkang) yang mengutamakan kepentingan peribadi," tegasnya.

Jelas Aslah, sebagai negara demokrasi, semua pihak sepatutnya menghormati serta patuh kepada undang-undang.

"Saya mengingatkan kepada sesiapa sahaja yang mahu menyertai perhimpunan tersebut supaya berfikir dua kali kerana perhimpunan itu adalah perjuangan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kesannya hanya menyusahkan orang ramai termasuk mereka yang mencari rezeki di ibu kota," jelasnya.

Sementara itu Pengerusi Sekretariat Penjaja dan Peniaga Kecil UMNO Wilayah Persekutuan,Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusoff mengecam tindakan PKR yang berterusan menghasut orang ramai menyertai perhimpunan haram itu.

"Tidakkah mereka fikir kesannya kepada penjaja dan peniaga kecil di ibu kota yang ingin mencari rezeki. Perniagaan akan terjejas apabila orang ramai takut keluar rumah, banyak jalan ditutup sehingga menyukarkan pergerakan peniaga dan pelanggan.

"Kami minta pihak berkuasa tidak memberi muka dan ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab yang menganjurkan perhimpunan ini dengan mengambil tindakan yang tegas terhadap mereka," ujarnya.

Tambah Mustapa Kamal, pihaknya akan berkempen kepada orang ramai agar tidak terpengaruh dan menyertai perhimpunan haram tersebut yang hanya menyusahkan masyarakat dan negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment