My Add

Friday 6 January 2012

Kempen 901: NGO disaran tidak turut serta berhimpun

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 06 Januari, 2012: Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bercadang berhimpun membantah Kempen Bebaskan Anwar 901 dinasihatkan tidak berbuat demikian kerana khuatir keadaan akan bertambah buruk dan sukar dikawal.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, sebaliknya pihak-pihak tersebut disaran melakukan solat hajat pada malam 8 Januari di setiap negeri dan memohon supaya negara terus menikmati keamanan serta kemakmuran.

"Tiada gunanya mereka melawan perhimpunan haram tersebut. Ia hanya akan menimbulkan ketegangan, suasana huru-hara serta khuatir situasi gagal dikawal kerana emosi yang membuak-buak apabila kedua pihak bertembung.

"Lebih baik kita bersama-sama melakukan solat hajat di setiap negeri pada malam sebelum keputusan kes liwat itu diumumkan (8 Januari) supaya negara aman, damai dan golongan yang menyokong Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) diberikan petunjuk serta hidayah," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas hasrat beberapa NGO seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Putra Malaysia, Pertubuhan Panel Ayahanda Penasihat Insan Malaysia (Papim), Persatuan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris) dan Pertubuhan Kebajikan Melayu Klang yang mahu berhimpun pada 9 Januari ini bagi membantah perhimpunan haram Kempen Bebaskan Anwar 901.

Perhimpunan haram anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bertujuan menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang berhubung kes tuduhan meliwat pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di pekarangan Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 9 Januari ini.

Selain itu, Fakhrul turut menasihatkan orang ramai khususnya penyokong Anwar yang bercadang menyertai perhimpunan tersebut supaya membatalkan hasrat berkenaan.

"Perhimpunan seumpamanya hanya mendatangkan masalah kepada orang lain untuk pergi bekerja dan melakukan tugasan seharian. Lihatlah apa yang telah berlaku di Mesir, Syria, kita patut jadikannya sebagai tauladan," jelasnya.

Sementara itu, Fakhrul turut menggesa ahli-ahli Pas tidak menyertai perhimpunan tersebut dan menyatakan sokongan kepada Anwar kerana jelas sekali Penasihat PKR itu tidak menyokong hudud yang diperjuangkan parti berkenaan.

"Belang beliau (Anwar) sudah terbongkar. Beliau sendiri mengakui bahawa pembangkang tidak akan melaksanakan hudud yang diperjuangkan Pas. Jadi mengapa masih mahu menyokong beliau?" ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment