My Add

Thursday 5 January 2012

Jabatan tidak bersifat perniagaan layak keluar sijil halal

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 05 Januari, 2012: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, hanya jabatan atau badan di bawah kerajaan yang tidak bersifat perniagaan dan membuat keuntungan layak mengeluarkan sijil halal.

Beliau berkata, pemberian kuasa dan hak kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) untuk mengeluarkan sijil halal adalah tepat kerana institusi itu tidak bermotifkan perniagaan, selain mempunyai fasiliti terbaik dalam memenuhi tuntutan halal yang sebenar.

"Mungkin ada pandangan yang mengatakan kenapa diberi kepada Jakim dan MAIN sahaja, kenapa tak diberi peluang sama kepada pihak lain supaya banyak sijil halal dapat dikeluarkan.

"Harus diingat, pokok kepada persoalan ini bukannya kepada hendak memperbanyakkan sijil halal tetapi untuk memastikan produk yang dikeluarkan syarikat dan institusi yang diberikan sijil halal membekalkan makanan terjamin kualitinya dalam konteks halal yang sebenar,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Kesedaran Halal Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha dan Ketua Pengarah IKIM Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.

Jamil Khir berkata pemantauan yang dibuat mendapati pihak atau badan tertentu yang bertindak mengeluarkan sijil halal sebelum ini tidak mempunyai keupayaan dari segi penyediaan makmal yang bersistematik untuk menjalankan kajian terhadap produk yang memohon status halal termasuk kemampuan dalam aspek penguatkuasaan.

Beliau berkata Jakim dan MAIN, yang kedua-duanya terletak di bawah kerajaan mempunyai keupayaan untuk menentukan hanya asid deoksiribonukleik (DNA) halal sahaja dibenarkan dalam penyediaan produk makanan kepada orang Islam menerusi makmal halal milik badan itu yang beroperasi di Petaling Jaya, Selangor.

Katanya walaupun terdapat banyak makmal seumpama itu di tempat lain, namun tidak mempunyai kekuatan dalam menentukan DNA halal sahaja yang dibenarkan untuk tujuan menyediakan makanan bagi umat Islam, yang mana ia merupakan elemen penting dalam memastikan sesuatu produk itu benar-benar halal. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment