My Add

Saturday 14 January 2012

Janji Najib kepada raktar Selangor

NAJIB Tun Razak bersalaman dengan orang ramai semasa membuat tinjauan mesra bertemu para peniaga di Kompleks PKNS, Shah Alam, Selangor, semalam. – UTUSAN/SAHARUDDIN ABDULLAH

Oleh HELMI MOHD. FOAD dan ABDUL YAZID ALIAS
SHAH ALAM, SABTU, 14 Januari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan seluruh rakyat Selangor bahawa masalah yang dihadapi mereka ketika ini tidak akan selesai sekiranya kerajaan negeri terus ditadbir pakatan pembangkang.

Perdana Menteri berkata, banyak masalah yang timbul tidak dapat diselesaikan oleh Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, malah masih banyak janji pilihan raya umum lalu gagal ditunaikan meskipun pembangkang sudah berkuasa di negeri ini hampir empat tahun.

“Kita dapati pemerintahan kerajaan negeri mencecah empat tahun sejak pilihan raya 2008, tetapi amat jelas dalam banyak hal, ada perasaan kecewa di kalangan rakyat negeri ini kerana janji-janji kerajaan negeri tidak ditunaikan seperti mana yang dialami penduduk di Pangsapuri Rimba Jaya semalam.

“Begitu juga dengan golongan peniaga seperti di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang mengadu hal mengenai kerajaan negeri yang sebelum ini menabur janji lunak dan manis.

“Apabila sudah berkuasa para pekedai di kompleks berkenaan dikenakan kenaikan sewa bukan 10 peratus, bukan 20 peratus tetapi 100 peratus. Saya kata keputusan itu amat keterlaluan dan tidak adil kepada peniaga.

" Kalau jualan naik tidak apalah tetapi ada jualan tidak naik (sebaliknya) menurun pun ada tetapi mereka dikejutkan dengan kenaikan sewa 100 peratus ini,” katanya berucap pada ‘Program Sepetang Bersama PM’ yang dihadiri lebih 2,000 penduduk Pangsapuri Rimba Jaya di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed; Penyelaras BN Parlimen Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi Md. Zin dan Penyelaras BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga, Zulkurnain Md. Roslan serta pemimpin-pemimpin parti komponen.

Kehadiran Perdana Menteri turut menarik perhatian anggota parti pembangkang apabila sekumpulan penyokong Pas dilihat turut hadir mendengar ucapan Najib.

Najib memberi jaminan bahawa BN akan menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi rakyat di negeri ini jika diberi kepercayaan untuk mentadbir Selangor.

“Maka, adalah lebih baik kita ambil alih kerajaan negeri, kita selesaikan masalah rakyat yang kerajaan negeri tidak selesaikan seperti masalah bekalan air, sampah sarap termasuk masalah rakyat di Pangsapuri Rimba Jaya ini,” tegasnya.

Najib yang juga Pengerusi BN Selangor turut mengumumkan penyelesaian kepada masalah penduduk Pangsapuri Rimba Jaya dengan meluluskan peruntukan membina sebuah surau dan kuil yang gagal dilaksanakan oleh kerajaan negeri sehingga kini.

Masalah sewa di Kompleks PKNS akan diselesaikan

Dalam tinjuan mesra di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini, Najib menemui peniaga di situ yang mendamereka ditindas ekoran kenaikan harga sewa premis antara 70 hingga 100 peratus mulai 1 Januari lalu.

Beliau meninjau beberapa lot kedai di kompleks berkenaan sebelum mengadakan sesi dialog dan perbincangan bersama peniaga terbabit.  

Hadir sama Kontroler Pembangunan Wilayah Utara PKNS, Siti Zubaidah Abd. Jabar dan Yang Dipertua Persatuan Peniaga-peniaga Kompleks PKNS, Amran Yahya.

Dalam ucapannya, Najib berkata, kerajaan akan berusaha membantu peniaga terbabit jika diberi kepercayaan kerana beliau tidak rela melihat golongan tersebut tertekan.

“Ada (peniaga) yang memberi cadangan supaya kerajaan Pusat ambil alih kompleks ini (PKNS), tetapi kerajaan negeri mungkin akan mengenakan pelbagai syarat. Jadi daripada mengambil alih kompleks, lebih baik ambil alih semula kerajaan negeri.

“Kita juga akan berbincang dengan Kementerian Pelancongan supaya Kompleks PKNS ini dapat menjadi salah satu tarikan pelancong (beli-belah) di sini,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh para peniaga dan orang ramai.

Sementara itu Amran memberitahu, semua peniaga terbabit menaruh harapan tinggi agar Perdana Menteri dapat campur tangan dalam membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

“Dalam ucapan Perdana Menteri, beliau memberi sokongan kepada peniaga dan akan membantu kami serta menasihati kami supaya dapat bertahan dengan keadaan ini sehingga pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Amran berkata, pihaknya telah memfailkan tuntutan injunksi (perintah sekatan) di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini bagi menghalang PKNS menaikkan kadar sewa lot kedai di kompleks itu mulai Januari tahun ini.

No comments:

Post a Comment