My Add

Tuesday 24 January 2012

Kekalkan tradisi sambutan perayaan - Najib

KUALA LUMPUR, SELASA, 24 Januari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak seluruh rakyat Malaysia mengekalkan tradisi menyambut perayaan bersama-sama, termasuklah sambutan Tahun Baru Cina.

Sambil menyifatkan ia sebagai satu keunikan yang tidak terdapat di negara-negara lain, Perdana Menteri berkata, sambutan itu mendekatkan seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum untuk bersama-sama meraikannya.

"Perayaan ini juga mewujudkan suasana yang harmoni dan mempunyai nilai yang sungguh besar serta tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya perlu diperkukuhkan sebagai tradisi dan pegangan seluruh rakyat Malaysia.

"Saya juga menyeru rakyat Malaysia untuk saling mengunjungi pada hari perayaan ini," katanya ketika menghadiri sambutan perayaan Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA, Jalan Ampang, di sini, semalam.

Najib yang tiba pada pukul 9.40 pagi disambut oleh pemimpin MCA yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dengan paluan gendang, tarian naga dan tarian singa.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, menteri-menteri Kabinet serta dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kesemua pemimpin itu kemudiannya menyertai upacara menggaul makanan Yee Sang iaitu tradisi yang dilakukan pada setiap kali menyambut Tahun Baru Cina.

Najib menambah, kedatangan Tahun Baru Cina kali ini juga diharapkan akan membawa tuah kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Sambil merujuk kepada Tahun Naga Air dalam kalendar Cina tahun ini, Najib berkata, ia adalah permulaan yang baik untuk memulakan perniagaan, sekali gus membawa maksud baik kepada ekonomi.

Meskipun diadakan secara sederhana, sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA tahun ini tetap diraikan dengan penuh meriah apabila dihadiri oleh kira-kira 10,000 orang termasuk pelancong asing.

Selain persembahan tarian naga, hadirin juga dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk seni mempertahankan diri oleh masyarakat pelbagai kaum. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment