My Add

Tuesday 24 January 2012

Muhyiddin luang masa kunjungi empat rumah terbuka

KUALA LUMPUR, SELASA, 24 Januari, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menghadiri empat rumah terbuka Tahun Baru Cina di sekitar Kuala Lumpur.

Bermula pada sebelah pagi, beliau dan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman menyertai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor ke majlis rumah terbuka MCA di Wisma MCA, Jalan Ampang, di sini.

Kemudiannya, beliau bergerak ke rumah terbuka Gerakan yang diadakan di Dewan Wawasan, Menara PGRM, Jalan Pudu Ulu, Cheras.

Sejurus selepas itu, Muhyiddin dan isteri menghadiri rumah terbuka Pengerusi Tan Chong Motor Holding Bhd., Datuk Tan Hen Chew di Taman Duta, di sini.

Rumah terbuka itu turut diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Hadir sama, Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan.

Pengarah Eksekutif Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM), Datuk Dr. Ang Bon Beng ketika ditemui berkata, sempena Tahun Baru Cina kali ini yang jatuh pada Tahun Naga Air, pihaknya berharap perniagaan ETCM akan membangun dan berkembang lebih maju.

Kira-kira 1,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa menghadiri rumah terbuka tersebut dengan dijamu pelbagai juadah tradisional masyarakat Cina.

Sementara itu, pada sebelah petangnya, Muhyiddin dan isteri sempat meluangkan masa menghadiri rumah terbuka Pengerusi Eksekutif Kumpulan YTL Corp. Bhd. (YTL), Tan Sri Yeoh Tiong Lay di sebuah hotel, di ibu negara.

Ketibaan beliau pada pukul 1.35 petang itu disambut Pengerusi Eksekutif YTL, Tan Sri Francis Yeoh.

Rumah terbuka itu juga dihadiri Najib dan Rosmah yang tiba awal bersama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim.

Turut berangkat, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail; Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Tuanku Syed Faizuddin serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Antara menteri yang hadir ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen.

No comments:

Post a Comment