My Add

Wednesday 25 January 2012

Kelantan berhasrat tarik pelancong dari Perak

KOTA BHARU, RABU, 25 Januari, 2012: Kelantan berhasrat untuk menjalin kerjasama dua hala dengan Perak dalam usaha menarik pelancong ke dua negeri itu sempena program Tahun Melawat Kelantan dan Tahun Melawat Perak tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya akan menemui Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir bagi membincangkan perkara itu.

Beliau berkata, melalui perjanjian persefahaman itu, kedua-dua negeri melalui Jawatankuasa Pelancongan masing-masing akan mengatur pelbagai program dalam usaha menarik pelancong melawat negeri berkenaan.

"Ini adalah satu perancangan kami dalam usaha menarik lebih ramai pelancong melawat Kelantan sempena Tahun Melawat Kelantan tahun ini," katanya kepada pemberita sebelum majlis pelepasan konvoi bermotosikal di pekarangan Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Takiyuddin berkata, 22 peserta konvoi itu akan turut mengunjungi Menteri Besar Kedah dan Perlis serta Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau berkata, rombongan itu turut disertai pasukan kebudayaan termasuk dikir barat dan nasyid yang akan mengadakan persembahan di negeri-negeri berkenaan. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment