My Add

Thursday 26 January 2012

Kerajaan prihatin masalah air, tanah di Rompin

MOHAMAD Safri Abdul Aziz bertanyakan sesuatu kepada seorang peserta dari Kelantan, Nik Karami Nik Mohamad sebelum memulakan pertandingan Kuantan Drag Series di Taman Teknologi UMP, Gambang, baru-baru ini.

KUANTAN, KHAMIS, 26 Januari, 2012: Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap isu tanah dan bekalan air di Rompin dengan melakukan pelbagai usaha untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, Datuk Mohamad Safri Abdul Aziz berkata, masalah tersebut bukan satu isu yang boleh dikaitkan dengan kegagalan pemimpin Barisan Nasional (BN) memenuhi janji seperti yang didakwa oleh penduduk.

Jelasnya, ia disebabkan pelbagai kekangan dihadapi kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah tersebut, tetapi usaha tetap diteruskan bagi memastikan kesulitan yang dihadapi penduduk dapat diselesaikan.

"Masalah tanah rancangan Felda dan bekalan air di beberapa kampung di Rompin bukan berpunca daripada kegagalan pemimpin yang dipilih atau karenah birokrasi, sebaliknya disebabkan oleh kerja-kerja menggantikan paip masih berjalan di kawasan berkenaan.

"Rompin merupakan antara daerah terbesar di negeri ini. Oleh itu, kerja-kerja mengganti paip sedia ada yang berusia 30 tahun pasti memakan masa kerana ia dijalankan secara berperingkat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan pertandingan Kuantan Drag Series anjuran bersama Majlis Belia Negeri Pahang dan JS Event di Taman Teknologi Universiti Malaysia Pahang (UMP) dekat Gambang di sini kelmarin.

Mohd. Safri berkata, kawasan Bukit Ibam dam Muadzam Shah turut terlibat dalam kerja-kerja penggantian paip tersebut dan kadangkala penduduk kawasan terbabit berdepan dengan masalah bekalan air yang tidak dapat dielakkan.

Mengenai isu tanah, beliau memberitahu, kerajaan negeri dalam usaha menyelesaikan masalah tanah yang dipohon penduduk melalui satu dasar yang diluluskan baru-baru ini.

"Kerajaan negeri bersedia meluluskan permohonan hak milik tanah yang dibuat dalam tempoh lebih lima tahun secara automatik selagi tanah itu tidak berlaku pertindihan atau berada dalam kawasan tanah rezab," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment