My Add

Sunday 22 January 2012

Kerajaan rangka dasar mampu jana pertumbuhan ekonomi

KOTA BHARU, AHAD, 22 Januari, 2012: Malaysia masih menikmati pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan hasil daripada kemampuan kerajaan Barisan Nasional (BN) merangka dasar yang boleh menjana pertumbuhan yang baik, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. 

Beliau berkata, setakat ini, ekonomi negara mampu mencatat kadar pertumbuhan sekitar lima peratus, ia adalah pertumbuhan yang baik berdasarkan keadaan persekitaran dunia yang tidak menentu daripada segi perdagangan dan pelaburan.

"Keadaan ini akan menjana peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 347 penerima dalam Parlimen Kubang Krian, di Sekolah Menengah Mulong dekat sini, hari ini.

Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, kejayaan kerajaan menguruskan negara dengan baik memberi banyak faedah kepada rakyat dan ini berbeza dengan negara lain yang menghadapi banyak masalah. 

"Kita harap dengan bantuan BR1M ini, rakyat Kelantan bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan pusat walaupun ekonomi dunia berada dalam keadaan tidak menentu, negara kita mampu menyampaikan bantuan kepada rakyat," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Mustapa menyokong cadangan semua anggota Kabinet dan anggota keluarga terdekat termasuk anak dan pasangan masing-masing diwajibkan menyerahkan salinan dokumen pengisytiharan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meningkatkan integriti kerajaan. 

"Yang penting apabila dikemukakan cadangan harus diadakan kaedahnya, apabila kaedah itu diputuskan kerajaan maka ia akan menjadi peraturan baru dan kita akur dengan apa jua peraturan tersebut. 

"Kita berusaha membina keyakinan rakyat terhadap pemimpin sebab ini perkara yang dituntut oleh rakyat dan sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita harus seiring dengan kehendak rakyat," katanya. 

Beliau berkata, pemimpin pembangkang juga tidak harus dikecualikan daripada mengisytiharkan harta mereka kepada SPRM. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment