My Add

Wednesday 4 January 2012

Kertas siasatan perhimpunan haram UPSI hampir selesai

IPOH, RABU, 04 Januari, 2012: Polis hampir melengkapkan siasatan berhubung dakwaan pasukan itu menggunakan kekerasan terhadap pelajar yang menyertai perhimpunan haram di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ahad lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pihaknya telah mengumpul segala maklumat dan merakam percakapan pegawai-pegawai polis yang bertugas pada malam tersebut.

"Kita memberi keutamaan kepada siasatan kes ini dan pada masa yang sama, kita berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi membantu melengkapkan siasatan.

"Sebaik sahaja proses siasatan selesai, ia akan diserahkan ke pejabat Peguam Negara untuk tindakan seterusnya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Batu Gajah di sini semalam.

Mohd. Shukri berkata, pihaknya juga melakukan siasatan terhadap beberapa blog yang dikenal pasti menyebarkan dakwaan berunsur fitnah bahawa polis menggunakan kekerasan ke atas pelajar yang menyertai perhimpunan haram berkenaan.

"Kita tidak mahu menjadi mangsa sedangkan niat kita pada ketika itu hanya menjaga keselamatan awam. Namun, kita akan meneliti semua laporan yang dibuat pelbagai pihak dan jika mereka kata kita guna kekerasan kita akan siasat," katanya.

Dalam kejadian pukul 1 pagi Ahad lalu, polis menahan 17 daripada 70 pelajar yang enggan bersurai termasuk berbaring di tengah jalan di hadapan UPSI semasa menyertai perhimpunan haram anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Difahamkan, perhimpunan itu diadakan bagi membantah tindakan tatatertib yang bakal diambil terhadap seorang pelajar universiti tersebut, Adam Adli, 22, yang menurunkan bendera tertera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu demonstrasi baru-baru ini.

Ditanya tindakan saman yang ingin dikemukakan kumpulan tersebut kepada polis, Mohd. Shukri berkata, ia terpulang kepada mereka kerana pihaknya mempunyai bukti tiada kekerasan yang digunakan.

"Pada malam itu, kita telah berikan arahan supaya mengelak menggunakan kekerasan apatah lagi menggunakan senjata.

"Sebab itu dalam video dirakam, tiada pegawai yang membawa senjata seperti pistol dan cota kerana kita tahu kita berhadapan dengan pelajar, bukannya penjenayah," ujarnya.

Beliau juga memberitahu, tiada anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dipanggil bertugas semasa kejadian itu, sebaliknya, hanya anggota dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Tanjung Malim. - UM

No comments:

Post a Comment