My Add

Wednesday 4 January 2012

Perkasa fail injuksi pertahan Madrasah Salihiah

KUALA LUMPUR, RABU, 04 Januari, 2012: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia akan memfailkan permohonan injunksi bagi membantah usaha kerajaan negeri Kedah merobohkan Madrasah Salihiah, Alor Setar.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, permohonan injunksi untuk mempertahankan rumah ibadat itu akan dibuat melalui firma peguamnya, Ahmad Rusydi Md. Nor & Partners di Alor Setar, Kedah, hari ini.

"Kita sudahpun melantik peguam di Sungai Petani dan kita akan membiayai usaha ini untuk memastikan madrasah itu tidak dirobohkan.

"Perkasa akan berjuang ke peringkat akhir untuk pastikan madrasah di atas tanah wakaf itu tidak diroboh untuk tujuan pembangunan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Ibrahim turut mempersoalkan tindakan dan alasan yang digunakan oleh kerajaan Pas untuk merobohkan madrasah itu.

"Inikah tindakan yang harus dijadikan contoh oleh sebuah kerajaan yang kononnya memperjuangkan negara Islam,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan negeri Kedah mencari alternatif lain untuk mengekalkan warisan berusia kira-kira 100 tahun itu.

Ibrahim turut memberi contoh sebuah kuil yang wujud di tapak pembinaan Mid Valley Megamall dikekalkan sehingga pembinaan pasar raya tersebut siap.

"Kuil itu tidak pun dirobohkan sebaliknya dibina dan diperindahkan semula dengan baik.

"Jadi kenapa perlu madrasah itu diroboh jika nak buat pembangunan. Arkitek-arkitek kita sudah cukup hebat untuk mengekalkan keadaannya," katanya.

Selepas injunksi, Ibrahim akan bersama-sama Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin melancarkan kempen tandatangan untuk membantah usaha kerajaan negeri merobohkan madrasah tersebut.

Sementara itu, Perkasa turut melancarkan tabung bantuan orang ramai bagi membiayai kos guaman yang diperlukan untuk mempertahankan Madrasah Salihiah. - UM

No comments:

Post a Comment