My Add

Tuesday 3 January 2012

Kes curi ubat RM1 juta selesai selepas tangkapan ketiga

KUALA LUMPUR, SELASA, 03 Januari, 2012: Kes kecurian 16 jenis ubat-ubatan bernilai RM1 juta di farmasi Hospital Kuala Lumpur (HKL) minggu lalu dianggap selesai setelah polis menahan seorang lagi suspek pada Ahad lalu di sini. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata penahanan lelaki yang juga petugas Hospital Temerloh, Pahang pada 1 Januari lalu itu, menjadikan jumlah yang ditangkap seramai tiga orang termasuk dua staf HKL.

"Suspek pertama yang ditahan pada 27 Dis lepas adalah seorang pencuci lantai warga asing, suspek kedua ditahan dua hari selepas itu merupakan kakitangan farmasi berkenaan dan suspek ketiga Ahad lalu.

"Ketiga-tiga mereka ditahan sehingga Khamis ini," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini. 

Semua suspek yang berusia antara 21 dan 36 tahun ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan (Curi oleh orang gaji) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda. 

Kejadian curi ubatan itu berlaku pada 27 Disember lalu dan polis berjaya menemui semula ubat-ubatan berkenaan yang disorok di dalam tong sampah di kawasan letak kereta Kompleks Kerajaan Jalan Duta pada 7.30 petang, 1 Januari lalu. 

Selain itu, Mohmad turut menasihatkan orang ramai agar tidak menghadiri perhimpunan anjuran parti pembangkang yang dijangka diadakan di sekitar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta pada 9 Januari ini. 

"Kepada orang ramai saya harap mereka tidak terpengaruh dengan sebarang sentimen yang boleh meracuni fikiran rakyat untuk menyertai perhimpunan "Bebaskan Anwar"," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment