My Add

Monday 9 January 2012

Kes kebakaran kuarters pekerja balak disiasat

KOTA KINABALU, ISNIN, 09 Januari, 2012: Kerajaan Sabah mengarahkan siasatan berhubung kejadian kebakaran di dua kuarters pekerja balak oleh penduduk kampung yang mendakwa syarikat balak itu melakukan pencerobohan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, hari ini. 

Kerajaan negeri bimbang mengenai kejadian itu dan menganggapnya sebagai serius, katanya apabila diminta mengulas mengenai insiden berkenaan.

Kira-kira 50 penduduk Kampung Alab di Sook, Keningau, dilaporkan membakar dua kuarters pekerja balak milik Bornion Timber Sdn Bhd pada Rabu lalu, dengan mendakwa syarikat itu menceroboh tanah seluas 4,000 hektar di sekitar kampung berkenaan yang ditanam pokok getah, sayur-sayuran, padi dan tanaman lain.

Laporan polis berasingan juga menyatakan syarikat itu bertindak meratakan tanah perkuburan nenek moyang penduduk tempatan dengan menggunakan jentolak. 

Penduduk kampung juga mendakwa mereka bosan kerana masalah tanah yang dihadapi mereka selama 10 tahun masih tiada penyelesaian. 

"Sekiranya penduduk kampung mempunyai masalah, mereka harus mencari jalan untuk menyelesaikannya melalui saluran yang betul dan bukannya mengambil tindakan undang-undang di tangan sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan anggota perkhidmatan awam jabatan dan agensi berkanun Persekutuan di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Likas, dekat sini, hari ini. 

Apabila ditanya adakah pejabat beliau menerima laporan berhubung kes kebakaran itu, Musa berkata, beliau masih belum menerima sebarang laporan. 
"Saya masih menunggu laporan itu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment