My Add

Friday 20 January 2012

Kesederhanaan jadi keperluan

MUHYIDDIN Yassin diiringi Mohd. Shafie Apdal bersalaman dengan sebahagian delegasi asing pada majlis penutup Persidangan Antarabangsa Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD NAJIB MOHD NOR

Oleh KHUZAIRI ISMAIL dan FAIZAH IZZANI ZAKARIA

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 Januari, 2011: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa kesederhanaan bukan lagi menjadi satu pilihan tetapi ia merupakan keperluan dalam setiap aspek kehidupan hari ini.

Beliau berkata, masyarakat akan dapat menerima perbezaan sesama sendiri, menghormati dan hidup dalam keadaan aman dan harmoni apabila mereka menolak ekstremisme dan seterusnya menerima konsep kesederhanaan.

"Amalan kesederhanaan dan menolak ekstremisme adalah kunci kepada penyatuan tamadun manusia dan keamanan dunia. Masa depan keamanan dan kesejahteraan global mesti dibina melalui kesefahaman bersama dan rasa hormat-menghormati antara masyarakat yang mewakili tamadun terbesar dunia," katanya ketika berucap pada majlis penutup Persidangan Antarabangsa Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) di sini, semalam

Hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Ketua Setiausaha Negara yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut melancarkan buku tulisan Profesor Ulung UIAM, Tan Sri Mohd. Kamal Hassan bertajuk The Voice of Islamic Moderation From The Malay World.

Muhyiddin melahirkan keyakinan bahawa sekiranya semua pihak mampu menerapkan semangat kesederhanaan dan menolak sama sekali sifat ekstremisme serta berlebihan, maka tidak ada kerosakan yang akan berlaku terhadap manusia.

Katanya, pada masa sama, masyarakat dunia perlu mengenal pasti punca sebenar berlakunya tindakan ekstremisme dan fanatisme yang biasanya menjurus kepada kebencian dan permusuhan antara pelbagai penganut agama dan budaya di dunia.

"Kita perlu menggantikan pengasingan ekonomi kepada pengagihan kekayaan sama rata. Politik yang eksklusif juga harus diakhiri dan beralih kepada politik inklusif, selain menangani masalah sosial dengan menegakkan keadilan dan menghormati maruah orang lain," katanya.

Beliau berkata, kesederhanaan telah menjadi teras kepada kejayaan Malaysia dalam berhadapan dengan kepelbagaian etnik dan agama serta mengekalkan keamanan dan mengelak timbulnya sebarang konflik.

"Ia sebenarnya bergantung kepada kesediaan semua pihak terutama semua agama dan budaya untuk mengetepikan perbezaan dan bekerjasama bagi mewujudkan keadaan aman, harmoni dan sejahtera," katanya.

Katanya, beliau percaya nilai kesederhanaan akan terus menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman, harmoni dan stabil sekali gus memberi manfaat yang sama kepada komuniti dunia.

"Saya juga percaya persidangan ini akan membolehkan semua pihak bekerjasama dalam mempromosikan keamanan berterusan untuk kebaikan komuniti global selepas ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment