ORANG ramai sanggup berdiri lama untuk menunggu giliran bagi menukar MyKad lama kepada Mykad baharu di Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA, AHAD, 29 Januari, 2012: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini memberi jaminan kesesakan luar biasa kaunter-kaunternya berikutan serbuan orang ramai yang ingin memperoleh Mykad baharu sepanjang bulan ini akan selesai menjelang 7 Februari.
Ketua Pengarahnya, Datuk Jariah Mohd. Said berkata, mulai tempoh tersebut semua cawangan JPN seluruh negara boleh memproses dan mengeluarkan Mykad baharu berbanding masa kini hanya sembilan cawangan yang dibenarkan berbuat demikian.
Bagaimanapun, katanya, bagi cawangan Kuala Lumpur, pemerosesan dan pengeluaran Mykad baharu hanya bermula pada 15 Februari ini berikutan perpindahannya ke lokasi baru di Jalan Duta.
''Saya akui wujudnya kesesakan tersebut tetapi setakat ini kami tidak menghadapi masalah untuk memproses dan mengeluarkan Mykad baharu pada masa yang ditetapkan.
''Para pegawai dan kakitangan saya bekerja sehingga 11 malam setiap hari bermula 3 Januari untuk memastikan setiap pemohon memperoleh Mykad baharu mereka pada masa yang dijanjikan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.
Buat masa ini hanya Putrajaya, Shah Alam, Ipoh, Kluang, Johor Bahru, Kuantan, Kuching, Melaka dan Kota Bharu dibenarkan memproses dan mengeluarkan Mykad baharu.
Sebanyak 36,648 permohonan Mykad baharu telah dibuat melalui sembilan cawangan itu bermula 3 hingga 24 Januari lalu.
Difahamkan jumlah permohonan untuk Mykad baharu meningkat secara mendadak sepanjang musim cuti sempena sambutan Tahun Baru Cina ini.
Jariah menyifatkan peningkatan itu disebabkan orang ramai mengambil kesempatan sempena cuti panjang itu untuk memohon Mykad baharu.
Selain itu, katanya, orang ramai juga teruja dengan penambahbaikan pada kad pintar walaupun JPN tidak pernah menetapkan sebarang tarikh akhir untuk penukaran Mykad baharu.
Bagaimanapun, beliau menambah, kesesakan tersebut akan reda apabila sekolah mula dibuka pada minggu depan.
''JPN tutup selama empat hari sempena sambutan Tahun Baru Cina itu iaitu bermula 21 hingga 24 Januari lalu dan akibatnya permohonan yang tertangguh melimpah bermula kelmarin.
''Saya jangka ia akan berterusan hingga Ahad ini tetapi saya beri jaminan JPN tetap akan menerima setiap permohonan yang dibuat oleh orang ramai itu," katanya.
Sementara itu, orang ramai yang ditemui di JPN Putrajaya semalam menganggap kesanggupan mereka beratur panjang bukan atas desakan mana-mana pihak termasuk kerajaan supaya menukar kepada Mykad baharu.
Sabrani Abu Bakar, 53, berkata, beliau bersama anaknya mengambil kesempatan sempena musim cuti panjang untuk memohon Mykad baharu.
''Saya rasa lebih mudah berurusan masa cuti sekolah ini, lebih-lebih lagi bila melibatkan anak yang bersekolah," katanya.
Bagi Mastuki Mahari, 31, bersama rakannya, Mohd. Faizul Mat Zain, 25, mereka sanggup beratur selama lebih empat jam kerana teruja dengan penambahbaikan pada Mykad baharu itu.
''Memanglah penat kerana menunggu lama tetapi kami begitu teruja untuk memperoleh Mykad baharu," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment