ANGGOTA SPAD mengambil maklumat daripada pemandu teksi (berbaju putih) dalam operasi di sekitar Kuala Lumpur, kelmarin.
KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Januari, 2012: Seramai 12 pemandu teksi ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya tidak menggunakan meter dalam satu operasi oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), di sini malam semalam.
Pengurus Besar Penguatkuasaan & Latihan SPAD, Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad berkata, enam pemandu ditahan kerana menetapkan tambang sesuka hati, dua tidak menggunakan meter, dua tiada dokumen pemandu dan dua lagi mengambil dan menurunkan penumpang di tempat yang tidak dibenarkan.
"Kesemua mereka berumur 30 hingga 50 tahun itu berjaya ditahan selepas pegawai kita yang terlibat dalam operasi kali ini iaitu seramai 30 orang melakukan penyamaran dengan menaiki teksi-teksi ini dari Terminal Tambang Murah (LCCT) sehingga ke KL Sentral," katanya kepada pemberita selepas operasi selama tiga jam yang bermula pukul 8 malam itu.
Che Hasni berkata, pemandu yang tidak menggunakan meter akan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau dua tahun penjara atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Yang mengenakan tambang lebih atau meletakkan harga sesuka hati pula akan disabit kesalahan di bawah Seksyen 75 akta yang sama, yang mana pemandu itu boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya, jika disabitkan," katanya.
Beliau berkata, SPAD memandang serius perkara tersebut kerana jelas perbuatan segelintir pemandu teksi yang tidak bertanggungjawab itu menipu rakyat serta pelancong asing yang datang ke negara ini.
Menurutnya, antara lokasi yang sering menjadi tumpuan ulat teksi adalah di pusat membeli belah Pavilion, Bukit Bintang, KLCC, KL Sentral dan Jalan P. Ramlee.
"Sejak Julai tahun lepas sehingga Januari tahun ini, kita telah menahan seramai 55 pemandu teksi atas pelbagai kesalahan. Beliau berkata, orang ramai yang merasa tertipu dengan helah pemandu teksi sedemikian boleh membuat aduan SMS SPAD Aduan (aduan anda) ke 15888, atau menelefon talian Hotline SPAD di 1-800-88-9600 ataupun menghantar e-mel melaluiaduan@spad.gov.my.
"Kita akan membuat operasi seperti ini dari semasa ke semasa untuk mengekang aktiviti ini," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment