My Add

Sunday 29 January 2012

Ketua Audit Negara perlu beri penjelasan segera

PASIR MAS, AHAD, 29 Januari, 2012: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meminta Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang supaya lebih cepat memberi penjelasan sekiranya timbul masalah daripada laporan tahunan agensi tersebut supaya isu seperti Pusat Fidlot Nasional (NFC) dapat dielakkan pada masa depan.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata, pihaknya amat menghargai penjelasan yang diberikan oleh Ambrin, tetapi sewajarnya ia dibuat lebih cepat bagi meleraikan semua kekeliruan yang diputar belitkan oleh pihak tertentu.

"Saya amat menghargai penjelasan yang diberikan oleh Ambrin dalam merungkai semua masalah yang timbul tetapi saya mencadang dan menasihatkan beliau agar lebih cepat memberi penjelasan apabila timbul kontroversi daripada Laporan Ketua Audit Negara bagi mengelak salah tafsir.

"Penjelasan itu sudah meleraikan beberapa perkara yang menjadi kekeliruan selepas diputar belitkan oleh pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), bagaimanapun siasatan yang dijalankan oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diteruskan dan tidak boleh diganggu gugat," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada penjelasan yang dibuat Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang semalam bahawa perkara yang menjadi fokus utama pengauditan prestasi yang dibuat jabatan itu adalah pencapaian NFC sejak ditubuhkan pada 2006 dan bukannya NFCorp sebagai sebuah syarikat.

Ambrin dalam kenyataan itu juga berkata, laporan jabatan tersebut tidak ada menyebut perkataan seperti kucar-kacir, in a mess atau penyelewengan dalam laporan pengauditannya terhadap projek NFC di Gemas, Negeri Sembilan.

Kenyataan itu dibuat selepas Ibrahim mendesak Ambrin mendedahkan keterangan yang diberikan oleh National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFC) menerusi surat jawapan yang dihantar kepadanya berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan oleh syarikat berkenaan. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment