My Add

Sunday 29 January 2012

Rakyat dirayu bantu Palestin

AWANG Suffian Awang Piut (tengah) dan Muslim Abu Umar (kanan) ketika ditemu bual media di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Januari, 2012: Rakyat Malaysia dipelawa membantu perjuangan rakyat Palestin untuk bangkit membina negara mereka dengan menyumbang menerusi Kempen Lima Untuk Palestin yang dilancarkan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut berkata, sumbangan itu akan disalurkan secara sistematik bagi memenuhi keperluan rakyat Palestin mengikut projek kemanusiaan dan pembangunan secara berperingkat.

"Dalam kempen ini, rakyat Malaysia menyumbangkan nilai hanya lima minit daripada masa setiap hari bekerja iaitu kira-kira 80 sen.

"Mereka boleh membuat sumbangan melalui potongan gaji bermula daripada RM5 dan ia akan disalurkan ke tiga sektor iaitu kesihatan, pendidikan, sosial dan kemasyarakatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis memperingati ulang tahun ketiga serangan ke atas Gaza dan pelancaran Kempen Lima Untuk Palestin di sini, semalam.

Majlis tersebut dirasmikan Pengarah Radio IKIMfm, Nik Roskiman Abdul Samad.

Tambah Awang Suffian, rakyat Palestin bukan sahaja memerlukan sokongan moral tetapi bantuan berbentuk material bagi membina kestabilan dan kesejahteraan sosial.

"Serangan ke atas Gaza yang berlaku selama 23 hari pada 27 Disember 2008 hingga 18 Januari 2009 telah membunuh 1,200 nyawa dan mencederakan kira-kira 5,300 rakyat Palestin termasuk kanak-kanak, wanita dan warga tua.

''Dilaporkan kira-kira 50,800 rakyat Palestin telah kehilangan tempat tinggal dan 219 kilang musnah mengakibatkan kehilangan pekerjaan," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment