My Add

Tuesday 3 January 2012

KPT masih tunggu laporan penuh - Khaled

JOHOR BAHRU, SELASA, 03 Januari, 2012: Kementerian Pengajian Tinggi masih menunggu laporan penuh daripada pihak universiti mengenai kumpulan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang mengadakan perhimpunan haram di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Sabtu lalu.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesemua penuntut tersebut bakal dikenakan tindakan tegas oleh universiti masing-masing sekiranya didapati bersalah terlibat dalam perhimpunan berkenaan.

"Tindakan mereka itu jauh menyimpang daripada tujuan asal masuk ke universiti iaitu untuk belajar dan menimba ilmu bagi memantapkan diri dengan persekitaran semasa sekali gus memenuhi keperluan modal insan negara.

"Bagi mereka, kematangan politik yang dilaungkan difikir boleh diperoleh melalui demonstrasi sedangkan ia boleh dikecapi melalui pelbagai cara termasuk perbincangan," katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan Surat Pelawaan Naik Taraf kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Selatan, Datuk Teo Ah Khiang di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Hou Kok Chung dan Timbalan Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Prof. Datin Dr. Ir. Siti Hamisah Tapsir.

Mohamed Khaled turut memberi jaminan bahawa hanya satu peratus mahasiswa UPSI terlibat dalam demonstrasi tersebut manakala selebihnya mempertahankan universiti itu sekiranya kumpulan berkenaan merempuh masuk.

"Saya beri jaminan 99 peratus penuntut UPSI tidak terbabit dalam perhimpunan itu. Kebanyakan mereka datang dari universiti serta kolej swasta lain.

"Penuntut UPSI yang lain pula ketika kejadian mereka sedang menunggu bagi mempertahankan universiti sekiranya kumpulan berkenaan merempuh masuk. Sementara itu, polis yang berada di situ mengambil langkah pencegahan supaya tidak terjadi perkara buruk," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut meminta semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini mengadakan perbincangan meja bulat mengenai pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebelum 11 Januari ini.

Menurutnya, hingga kini sebanyak 10 buah IPTA telah menjalankan perbincangan, antaranya Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

"KPT sudah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memperincikan pindaan AUKU dan mahu semua IPT di negara ini turut serta memberi pandangan. Malah hingga kini kementerian menerima kira-kira 1,200 maklum balas menerusi e-mel dan laman sosial daripada penuntut serta pensyarah yang ingin memberi pandangan mengenai perkara berkenaan," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment