My Add

Tuesday 3 January 2012

11 buah sekolah ditutup di Kelantan





BEGINILAH keadaan Sekolah Kebangsaan Ketereh di Kota Bahru yang terpaksa ditutup kerana digenangi air banjir semalam.

Oleh YULPISMAN ASLI 

KOTA BHARU, SELASA, 03 Januari, 2012: Sebanyak 11 buah sekolah di Kelantan ditutup esok akibat banjir menyebabkan ribuan pelajar tidak dapat memulakan sesi persekolahan 2012.

Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, ia melibatkan dua sekolah di Gua Musang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai dan SK Balar yang tidak dapat beroperasi kerana terputus hubungan.

Sembilan lagi sekolah yang terjejas pula ialah di daerah Rantau Panjang iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, SK Rantau Panjang, SK Seri Rantau Panjang 1 dan 2, SJK(C) Khay Boon, SK Lubok Stol, SK Kok Pauh, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Alfalah Siram dan SABK Diniah Bongor.

“Sekolah-sekolah di Rantau Panjang ditutup disebabkan air Sungai Golok naik. Kami sedang memantau keadaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Hussain bagaimanapun tidak dapat menyatakan secara tepat jumlah pelajar terlibat memandangkan beliau berada di luar pejabat kerana meninjau sekolah-sekolah terjejas di sekitar Rantau Panjang.

Menurut beliau, pihaknya akan memaklumkan dari semasa ke semasa bilakah sekolah terbabit boleh beroperasi semula kerana ia bergantung kepada keadaan cuaca.

Sementara itu, Penyelia Kanan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Rantau Panjang, Mukhtar Mustafa memaklumkan, sesi pendaftaran baru kanak-kanak di 50 buah taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) di daerah itu berjalan seperti biasa walaupun terdapat lapan tabika ditenggelami air atau jalan dinaiki air.

“Tabika yang terlibat ialah di Kampung Bongor, Pohon Tanjung, Serungga, Lubok Stol, Kampung Rahmat, Kubang Rambutan, Chenerai dan Tok Rusa. Ia membabitkan kira-kira 240 kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, maklumat di laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan bacaan paras air Sungai Golok setakat pukul 6 petang ini mencecah 9.89 meter melepasi paras bahaya sembilan meter.

Bagaimanapun bacaan paras air di sungai utama lain masih berada di bawah berjaga-jaga di sebalik cuaca hujan yang kadang kala lebat dan angin kencang yang melanda beberapa daerah di seluruh negeri.  

No comments:

Post a Comment