My Add

Wednesday 25 January 2012

Kuasa Pas semakin lemah di Selangor

KUALA LUMPUR, RABU, 25Januari, 2012: Pengambilalihan jawatan Exco Hal Ehwal Agama oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor membuktikan pengaruh dan kuasa Pas yang semakin lemah dalam pakatan pembangkang.

Peralihan portfolio kepada calon yang tidak mempunyai latar belakang agama 'setanding' dengan Datuk Dr. Hasan Ali itu juga dilihat sebagai sesuatu yang tidak rasional.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd. Rahman berkata, walaupun perubahan dikatakan untuk memperkukuhkan kesepaduan pakatan pembangkang tetapi ia sebenarnya memberi 'pengimbangan' yang lebih menyebelahi PKR berbanding Pas.

"Pas kelihatan begitu lemah. Timbul tanda tanya dari segi pendirian dalam proses tawar-menawar parti itu dengan pakatan atau adakah kepimpinan Pas kini terlalu dibayangi PKR.

"Kalau saya jadi orang Pas tentu saya rasa terhina apabila portfolio agama yang selama ini disandang oleh parti diambil alih," katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam rombakan kecil pentadbiran negeri Selangor baru-baru ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil alih dua portfolio penting iaitu Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang sebelum ini dipegang oleh Hasan.

Abdullah berkata, pelantikan yang membelakangkan parti itu mungkin dibuat untuk mendapatkan satu kedudukan yang 'selamat' kepada dasar pemerintahan pembangkang di Selangor.

"Mungkin DAP dan PKR takut kalau kuasa diberi kepada wakil Pas akan ada yang mengulangi jejak langkah Hasan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahya berkata, walaupun peralihan tidak seharusnya dinilai mengikut parti, namun secara prinsipnya ia wajar diberikan kepada calon yang mempunyai kredibiliti dan dipercayai layak untuk memegang jawatan itu.

"Tak kisah Pas atau PKR yang pegang tapi biarlah orang itu ada kredibiliti yang kuat dalam bidang itu.

"Amat menyedihkan jika orang yang pegang tak dapat terjemahkan agama dalam kehidupan sendiri atau dalam masyarakat," katanya.

Penyingkiran Pas daripada jawatan itu menurutnya, pasti mengecewakan masyarakat umum yang mengharapkan bidang kuasa agama diterajui parti berkenaan.

"Pas adalah entiti yang sepatutnya diberi tanggungjawab dan kepercayaan untuk berada di situ (jawatan).

"Itu baru kena dengan dasar perjuangan Islam Pas. Betul atau tidak itu yang masyarakat lihat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment