KUALA LUMPUR, RABU, 25 Januari, 2012: Pas kini sedang memikul tanggungjawab berat untuk menerangkan kepada orang ramai terutama penyokongnya sendiri yang keliru dengan keutamaan perjuangan parti itu..
Kekeliruan itu mungkin ditafsirkan umum sebagai kegagalan Pas bersinar dalam identitinya memperjuangkan Islam terutama selepas sanggup membiarkan satu-satunya platform yang ada baginya untuk menyebarkan ideologi parti jatuh ke tangan pihak lain.
Penganalisis politik, Dr. Sivamurugan Pandian menyifatkan, 'pengorbanan' yang dilakukan Pas demi matlamat menakluki Putrajaya sehingga menyimpang jauh perjuangan asal mereka merupakan antara titik kejatuhan parti tersebut.
Katanya, peranan Pas yang kian pudar di dalam pakatan pembangkang perlu disedari pemimpin parti itu agar tidak hanya melukut di tepi gantang sahaja dalam pakatan.
"Jika keadaan ini berterusan, akan timbul kekeliruan dalam kalangan rakyat dan penyokong mereka yang menyoal kenapa Pas kini hanya menjadi picisan?
"Keadaan ini akan menyebabkan parti tersebut di dalam dilema dan akhirnya pengaruhnya akan pudar bersama-sama peranannya dalam pakatan pembangkang," katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor yang baru bagi menggantikan Datuk Dr. Hasan Ali yang digugurkan daripada jawatan tersebut minggu lalu.
Bagaimanapun, Dr. Ahmad Yunus hanya akan bertanggungjawab terhadap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri mengetuai jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak turut berpandangan sama iaitu Pas perlu kembali kepada perjuangan asalnya jika tidak mahu penglibatan parti tersebut dipandang rendah oleh semua pihak.
Jelasnya, penyisihan parti tersebut daripada memegang portfolio Hal Ehwal Agama telah menimbulkan tanda tanya masyarakat umum dan keadaan tersebut harus dirungkai dengan mengubah pendekatan mereka menjadi lebih tegas terhadap sekutunya agar tidak diperkotak-katikkan lagi.
"Pas perlu bertegas bahawa parti yang beridentitikan Islam sepertinya perlu diberikan keutamaan dalam menegakkan agama Islam dan agenda Melayu dalam perkongsian kuasa politik," ujarnya.
No comments:
Post a Comment