My Add

Friday 27 January 2012

'Laluan beratur' KLIA kesan penyeludup dadah

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (dua dari kiri) mencuba alat yang dipanggil T. Baton ketika beramah mesra dengan anggota Unit Seni Mempertahankan Diri Kastam (SMDK) pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-30 di Kompleks Kastam Kelana Jaya, Petaling Jaya, semalam. Turut kelihatan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf (kiri).

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 27 Januari, 2012: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kini dalam peringkat perbincangan dengan Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB) bagi memperkenalkan peraturan 'laluan beratur' dalam menyekat kegiatan penyeludupan dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Penolong Ketua Pengarahnya, Datuk Zainul Abidin Taib berkata, penguatkuasaan laluan beratur itu diperlukan bagi memberi tempoh kepada pegawai-pegawai kastam di KLIA untuk mengesan penyeludup dadah yang masuk ke negara ini.

"Sekarang hanya dalam masa 10 minit, mereka kena keluar daripada kawalan. Kalau setuju peraturan baru ini, kita mempunyai tempoh sehingga sejam, ia lebih daripada mencukupi untuk kita memerhati dan mengkaji penumpang dan pelancong yang masuk ke negara ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-30 di sini, semalam.

Katanya, beliau yakin cadangan tersebut dapat dilaksanakan kerana ia telah pun dipraktikkan di negara seperti Australia dan ia perlu dilakukan segera memandangkan penyeludupan dadah yang semakin serius di KLIA.

"Sepanjang tahun lalu, pihak kastam telah merampas dadah bernilai RM183.78 juta di KLIA dan 92 orang telah ditahan kerana kesalahan itu," katanya.

Menurutnya lagi, bagi memantapkan pemeriksaan, pihak kastam akan memasang mesin Biosense di KLIA bagi membolehkan pengesanan awal terhadap dadah yang cuba dibawa masuk.

"Mesin pengimbas Biosense akan memberi pengesanan awal kepada apa jua barang yang cuba dibawa masuk dan ia adalah peringkat pertama sebelum pemeriksaan yang lebih menyeluruh," katanya.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai kemerosotan hasil cukai eksais dan jualan atas kenderaan pemasangan tempatan, Zainul memberitahu, ia berikutan dua bencana alam yang melanda dunia iaitu tsunami di Jepun pada Mac 2011 dan banjir besar di Thailand pada Julai 2011.

Katanya, kemerosotan kutipan komoditi permotoran daripada RM11.127 bilion pada 2010 kepada RM10.650 bilion pada tahun lalu itu tidak dapat dielakkan kerana syarikat pemasangan kereta tidak dapat mengimport komponen serta alat ganti dari kedua-dua negara tersebut dan oleh itu, cukai tidak dapat dikenakan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment