My Add

Friday 27 January 2012

Tuduhan melulu Anak tanpa sandar ilmu ekonomi

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 27 Januari, 2012:Tuduhan melulu Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) yang diketuai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mazlan Aliman bahawa Felda akan mengalami defisit RM1.5 bilion setahun ekoran penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd. (FGVH) ke Bursa Malaysia dibuat tanpa bersandarkan ilmu ekonomi matang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, tuduhan itu sengaja dibuat oleh badan propembangkang tersebut bagi menimbulkan rasa kurang senang peneroka Felda terhadap kerajaan.

Katanya, Felda mempunyai strategi mantap bagi memastikan penyenaraian FGVH memberi pulangan memberangsangkan seperti melalui keuntungan bersama setiap tahun, termasuk nilai pajakan tanah peneroka selama 99 tahun, pengapungan, pelaburan sedia ada dan jumlah pelaburan setiap tahun.

"Jadi ini tuduhan orang yang tak bermaklumat dan berlagak pandai, mereka membuat keterangan tanpa merujuk kepada kita. Kalau tidak tahu, tanyalah saya," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Seminar Angkatan Prihatin Terengganu (APT) di sini, malam tadi.

Beliau mengulas dakwaan Mazlan hari ini yang menyatakan kononnya penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia akan menyebabkan Felda mengalami defisit tahunan RM1.5 bilion.

Ahmad menambah, penyenaraian FGVH juga tidak menggugat para peneroka Felda kerana syarat penyenaraian itu secara jelas melindungi pemilikan rumah dan tanah walaupun dipajak selama 99 tahun.

Dalam pada itu, katanya, seminar APT yang membabitkan 320 bekas penyokong tegar Pas serta Parti Keadilan Rakyat di sekitar Marang dan Besut akan diberi penerangan terhadap program pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Pusat selama ini.

"Dalam seminar tiga hari ini, mereka dibawa melawat sambil belajar ke Putrajaya supaya setelah selesai seminar nanti, mereka menyebarkan kebaikan dan jasa kerajaan kepada ahli keluarga yang masih menyokong pembangkang," katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment