My Add

Thursday 26 January 2012

Lantik firma perunding mampu beri gambaran sebenar

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 26 Januari, 2012: Keputusan kerajaan melantik firma perunding perakaunan bagi mengaudit projek Pusat Fidlot Nasional mampu menjernihkan keadaan dan memberikan gambaran sebenar tentang pusat itu kepada orang ramai.

Pengarah Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), Wan Shahinu Izmir Salleh berkata, pada masa sama, penemuan daripada audit bebas itu akan dapat mengurangkan kritikan sekali gus membuktikan fakta sebenar berhubung projek berkenaan.

''Paling mustahak, ia akan memperbetulkan salah faham dan mengembalikan kredibiliti syarikat yang dilempar dengan pelbagai tuduhan tidak berasas.

''Justeru, kita mengalu-alukan keputusan kerajaan melantik sebuah firma perunding perakaunan dalam projek Pusat Fidlot Nasional ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan kerajaan melantik sebuah firma perunding perakaunan bagi melindungi kepentingannya dalam projek Pusat Fidlot Nasional.

Antara tugas firma tersebut adalah menjalankan satu penelitian wajar selain melakukan audit projek dari segi penggunaan dana pinjaman, pengurusan serta kewangan dan tugasan itu dijangka bakal dimuktamadkan dalam tempoh sebulan.

Dalam pada itu, Wan Shahinu Izmir turut mengucapkan penghargaan beliau kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hadir pada sesi penjelasan berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan oleh perbadanan itu, Ahad lalu.

Katanya, buat masa ini, beberapa laporan polis dan kenyataan telah dibuat yang mana ia telah diserahkan kepada polis beserta buku-buku dan dokumen NFC untuk membantu siasatan.

''Kesemua maklumat itu telah berada di tangan pihak berkuasa yang relevan. Kita bekerjasama penuh dan masih menunggu hasil siasatan," katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment