My Add

Saturday 7 January 2012

Lawatan Najib isyarat penuh bermakna

Oleh Zulkifli Jalil

JOHANNESBURG, Afrika Selatan, 07 Januari, 2012: Lawatan kerja dua hari Datuk Seri Najib Tun Razak ke Afrika Selatan yang bermula hari ini akan memberi isyarat bermakna kepada kedua-dua negara untuk menerokai peluang-peluang baru dalam hubungan ekonomi dan dagangan.

Bercakap kepada wartawan Malaysia di Hotel Michelangelo di sini petang semalam, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan, Kennedy Jawan berkata, meskipun lawatan itu agak singkat kurang 24 jam, namun ia amat signifikan setelah kali terakhir kunjungan pemimpin Malaysia ke sini pada 2005 diketuai Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu.

Malahan, kata beliau, kunjungan Perdana Menteri atas jemputan Presiden Jacob Zuma untuk menghadiri sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) di Mangaung, Bloemfontein, 44 kilometer dari sini itu secara tidak langsung menggambarkan sokongan padu berterusan Kuala Lumpur kepada parti yang memperjuangkan penghapusan dasar Apartheid tersebut.

"Tahun lalu, hubungan dagangan dua hala kedua-dua negara mencecah AS$5.2 bilion dan meskipun beberapa syarikat Malaysia mengalami penyusutan dagangan di negara ini semasa krisis ekonomi 1997/98, namun nampaknya mereka kembali berdaya saing termasuklah dengan penyertaan menyerlah Petronas dalam industri minyak dan gas selain pelaburan sebuah syarikat dalam sektor perumahan dan padang golf.

"Kita percaya pertemuan Perdana Menteri dan Presiden Zuma akan memberi isyarat yang baik untuk mengukuhkan kerjasama kedua-dua negara," kata beliau.

Jawan berkata, Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan menyertai kira-kira 46 ketua kerajaan lain dan 100,000 penyokong ANC pada sambutan ulang tahun parti itu Ahad ini di Stadium Ragbi Mangaung kira-kira pukul 1.45 petang (7.45 malam waktu Malaysia).

Sebelum itu, beliau dijadualkan mengadakan pertemuan dengan seorang ketua sebuah wilayah bebas di sini, Sekgobelo Elias Magshule sebelum diikuti mesyuarat dua hala dengan Zuma.

Perdana Menteri juga selepas meninggalkan Stadium Ragbi Mangaung akan mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Kenya, Stephen Kalonzo Musyako.

Ketika ini terdapat kurang daripada 100 rakyat Malaysia di Afrika Selatan. Kebanyakannya berada di Durban dan Cape Town termasuklah seramai 50 pelajar persendirian Zakariya Darul Ulum yang mengikuti pengajian madrasah di Johannesburg selain beberapa pelajar tajaan Petronas. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment