My Add

Wednesday 4 January 2012

Lebih 128,000 pendatang asing diputihkan di bawah 6P

PUTRAJAYA, RABU, 04 Januari, 2012: Sejak 10 Oktober lalu sehingga hari ini, seramai 128,373 pekerja/pendatang asing tanpa izin diputihkan menerusi Program Penyelesaian menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (6P).

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam, berkata angka itu membabitkan 15,589 majikan.

Daripada jumlah itu, Jabatan Imigresen Putrajaya merekodkan permohonan tertinggi daripada majikan iaitu 13,031 bagi memutihkan 116,018 pekerja/pendatang tanpa izin, katanya dalam kenyataan, di sini.

Mahmood berkata Kompleks KDN di Seberang Jaya, Pulau Pinang menerima permohonan daripada 1,021 majikan untuk memutihkan 4,209 orang diikuti Kompleks KDN Johor Bahru, Johor dengan permohonan 907 majikan bagi pemutihan 4,073 orang.

"Selain itu, Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya menerima permohonan 322 majikan untuk pemutihan 1,871 orang, Jabatan Imigresen Presint 15 (125 majikan, 1,356 orang), Kompleks KDN Jalan Duta (162 majikan, 783 orang) dan Jabatan Imigresen Pelabuhan Klang dengan permohonan 30 majikan untuk pemutihan 63 pekerja/pendatang tanpa izin," katanya.

"Pada masa sama, satu lagi pusat setempat mula beroperasi hari ini di Kompleks KDN Kuantan, Pahang sebagai pilihan kepada majikan di negeri itu selain di Kelantan dan Terengganu," katanya.

Dalam pada itu, sehingga hari ini seramai 73,675 pendatang tanpa izin yang terlibat dalam proses pengampunan di bawah 6P telah keluar dari negara ini dengan jumlah tertinggi adalah dari Indonesia iaitu 49,642 orang, diikuti India (5,401), Myanmar (3,167), Kemboja (2,684), Nepal (3,829), Filipina (1,244), Bangladesh (2,663), Vietnam (1,443), Sri Lanka (908), Pakistan (1,601)dan China (584).
Daripada jumlah itu seramai 54,696 keluar dari negara ini menggunakan pengangkutan udara, 18,788 memilih jalan laut dan 191 lagi menggunakanlaluan darat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment