My Add

Sunday 29 January 2012

Lonjak pembangunan ekonomi komersial melalui RTP

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI

IPOH, AHAD, 29 Januari, 2012: Kerajaan mahu mewujudkan Kampung Abad Ke-21 yang mempunyai prospek pembangunan ekonomi komersial melalui pelaksanaan Pelan Transformasi Luar Bandar (RTP).

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, antara pendekatan yang dirangka ialah dengan mewujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di seluruh negara bagi melonjakkan transformasi ekonomi di kawasan berkenaan.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan RTC yang pertama di Gopeng dekat sini pada bulan depan.

''Kita ada beberapa pendekatan yang akan diwujudkan bagi memastikan pemasaran barangan luar bandar menjadi lebih efisien selain pengeluaran produk luar bandar yang bakal meningkat.

''Ini bermakna proses transformasi luar bandar akan melibatkan perubahan ekosistem luar bandar, bukan sahaja melahirkan usahawan luar bandar tetapi melibatkan sektor perbankan untuk membiayai perniagaan di kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Gelanggang Rakyat Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan Dua di sini, semalam.

Menurut Ahmad Husni, keseimbangan pertumbuhan ekonomi antara bandar dan luar bandar akan membolehkan kawasan luar bandar menampung pembangunan ekonomi berbentuk komersial sekali gus mengurangkan penghijrahan penduduk ke bandar.

''Di samping itu, apabila sektor komersial luar bandar maju, ia dapat mengurangkan harga barangan di negara kita sehingga 20 atau 30 peratus lebih rendah," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, berdasarkan kajian yang dijalankan, transformasi ekonomi negara yang mula dilaksanakan pada tahun lalu akan memberi impak lebih besar pada tahun ini.

Katanya, walaupun baru dilaksanakan, ia menunjukkan kesan yang cukup hebat pada tahun lalu dan menyumbang kepada pengukuhan pertumbuhan ekonomi negara.

"Umpamanya, kalau kita ambil contoh projek MY Rapid Transit (MRT), perbelanjaan pembangunan pada 2011 tidak banyak tetapi bermula rancak pada 2012 dan akan terus rancak," katanya.

Sementara itu, menurut Ahmad Husni, kerajaan sedang memantau harga minyak mentah dunia ekoran ancaman Iran untuk menyekat laluan kapal di Selat Hormuz, yang mewakili 20 peratus bekalan minyak global.

Menurutnya, jika berlaku kenaikan harga minyak, kerajaan terpaksa menentukan harga yang akan dipasarkan kepada pengguna kerana subsidi minyak yang ditanggung kerajaan turut meningkat. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment