My Add

Tuesday 24 January 2012

Melayu P. Pinang bakal hancur

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL

PULAU PINANG, SELASA, 24 Januari, 2012:Orang Melayu di negeri ini bakal terjerumus ke ambang kehancuran jika mereka masih berpecah belah dan bertelingkah sesama sendiri.

Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Tan Sri Omardin Mauju berkata, kebimbangan itu berasas kerana ketika ini orang Melayu Pulau Pinang sudah menjadi golongan minoriti walaupun satu ketika dahulu merupakan masyarakat terawal yang mendiami negeri ini.

“Jiwa saya terusik melihat perpecahan yang sedang melanda dan saya menyeru supaya ambillah iktibar terhadap apa yang telah berlaku kepada Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang gah pada zaman dahulu tetapi akhirnya berkubur.

“Justeru, saya berharap kita tidak lagi berpecah belah kerana ia merugikan bangsa sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pertauliahan Pertubuhan Islam Gabungan Amal (Pertiga), di sini, SEMALAM.

Turut hadir, pengasasnya Sabarudin Ahmad dan penyanyi, Awie serta pelakon, Farid Kamil.

Menurut Omardin, dia berani menyebut perkara itu kerana beliau mempunyai banyak pengalaman di negeri ini dan melihat sendiri perubahan-perubahan yang berlaku kepada orang Melayu.

“Sejak 1972 lagi saya bertapak di sini dengan mengasaskan pertubuhan silat di Jalan Kastam ketika itu dan ramai orang Melayu pada masa itu yang menyertainya.

“Namun pada hari ini, mereka melarikan diri dari negeri ini dan ramai yang menetap di negeri jiran seperti Kedah,” katanya.

Baru-baru ini, Sasterawan Negara, Prof. Muhammad Salleh turut menyuarakan kebimbangannya tentang situasi tersebut apabila semakin ramai orang Melayu di negeri ini memilih untuk menetap di kawasan seperti Kulim dan Sungai Petani di Kedah.

Sehubungan itu, Omardin menyeru orang Melayu di negeri supaya kembali bersatu dengan menyertai pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengelak perpecahan.

Pada majlis itu juga, Pertiga turut memperkenalkan kad insurans Skim Kelompok Mesra MAA Takaful untuk lebih 10,000 ahlinya di seluruh negara.

Kad itu antara lain memberi perlindungan kepada ahli dengan perlindungan insurans seperti bayaran jika menerima rawatan di wad, kemalangan, khairat kematian sebanyak RM3,000 dan bayaran RM30,000 kepada waris jika ahli meninggal dunia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment