My Add

Tuesday 24 January 2012

Dedah surat jawapan NFC elak rakyat keliru

PUTRAJAYA, SELASA, 24 Januari, 2012: Ketua Audit Negara wajib mendedahkan keterangan yang diberikan oleh National Feedlot Corporation Sdn. Bhd., (NFC) kepada agensi itu bagi memastikan rakyat tidak terkeliru dengan agenda pembangkang selain menafikan segala dakwaan penyelewengan dana kerajaan oleh syarikat berkenaan.

Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli berkata, melalui pendedahan surat jawapan itu juga, secara tidak langsung ia akan membersihkan nama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil daripada segala tuduhan pembangkang.d

Menurutnya, pendedahan surat jawapan itu amat ditunggu-tunggu kerana ia akan menjai penamat kepada segala dakwaan yang selama ini menghantui NFC.

"GNM menyokong penuh desakan yang dibuat Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali agar surat jawapan itu didedahkan.

"Menurut penjelasan NFC semalam, Jabatan Audit Negara telah menerima surat jawapan tersebut dan mengakui tidak berlaku sebarang penyelewengan dan semuanya di bawah kawalan serta mengikut peraturan, jadi tiada apa yang perlu dirisaukan dan surat itu perlu didedahkan kepada rakyat secara terperinci," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas desakan Perkasa agar Ketua Audit Negara mendedahkan keterangan yang diberikan oleh NFC menerusi surat jawapan yang dihantar kepadanya berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan oleh syarikat berkenaan.

Perkasa bersama 11 lagi NGO semalam telah diberikan taklimat dan penerangan oleh Pengerusi NFC, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail berhubung isu dakwaan penyelewengan dana kerajaan membabitkan NFC yang menjadi tumpuan ketika ini.

Menurut Mohd. Jurit, GNM menghormati dan menyokong penuh tugas Ketua Audit Negara, tetapi pendedahan surat jawapan itu perlu dilakukan dengan terperinci agar rakyat tidak salah faham dengan apa yang ingin disampaikan.

Dalam pada itu, beliau mencabar pemimpin pembangkang supaya mendesak Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletak jawatan dan bertanggungjawab dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap menantunya, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman berhubung dakwaan penyelewengan.

Selain itu, katanya, kegagalan pembangkang mendesak Nik Abdul Aziz membuktikan mereka bersikap pilih kasih dan sengaja memperbesar-besarkan isu berkaitan NFC sehingga sanggup mengarahkan Shahrizat meletak jawatan.

"Saya cabar Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli untuk mendesak Nik Abdul Aziz meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan.

"Jika dalam kes NFC mereka begitu lantang mendesak Shahrizat meletak jawatan, maka mereka juga perlu berbuat perkara sama ke atas Nik Abdul Aziz," katanya.  

No comments:

Post a Comment