My Add

Friday 6 January 2012

Mereka gagal daftar sebagai pengundi tidak hadir

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 06 Januari, 2012: Enam warga Malaysia yang bekerja dan menetap di United Kingdom hari ini gagal dalam usaha mereka untuk didaftarkan sebagai "pengundi tidak hadir" selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka.

Merka mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mendaftarkan mereka sebagai pengundi tidak hadir pada pilihan raya umum akan datang. 

Hakim Datuk Rohana Yusuf memutuskan keenam-enam mereka, sebagai pemohon dalam kes itu, jelas tidak termasuk dalam kategori pengundi yang boleh dianggap sebagai 'pengundi tidak hadir' mengikut Peraturan 2, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Katanya, di bawah peraturan itu, kategori 'pengundi tidak hadir' ialah anggota angkatan tentera, penjawat awam yang berkhidmat di luar negara, pelajar universiti dan pasangan mereka.

"Adalah jelas bahawa pemohon-pemohon tidak termasuk di bawah mana-mana kategori ini. Oleh yang demikian, apabila pemohon memohon kepada SPR untuk didaftarkan sebagai "pengundi tidak hadir" permohonan mereka ditolak oleh SPR mengikut Peraturan 2," katanya. 

Dalam penghakiman sembilan muka surat, Hakim Rohana juga memutuskan permohonan oleh kenam-enam mereka bagi semakan penghakiman untuk membatalkan keputusan SPR adalah tidak munasabah dan menjurus kepada pencabulan proses mahkamah. 

"Dengan ini, saya menolak permohonan pemohon-pemohon. Saya tidak mengeluarkan perintah berkaitan dengan kos," katanya. 

Hakim Rohana berkata, mahkamah juga tidak dapat mengeluarkan perintah mandamus sepertimana dipohon oleh pemohon supaya mahkamah memerintahkan SPR mendaftarkan pemohon sebagai pengundi tidak hadir kerana ianya sama seperti memerintahkan SPR bertindak terhadap peruntukan undang-undang yang sah, berkuat kuasa dan kekal tidak tercabar. 

Pada 25 Oktober tahun lalu, enam pemohon itu -- doktor Teo Hoon Seong, 43, jurutera elektrik V. Vinesh, 32, ahli perniagaan Paramjeet Singh, 54, doktor Yolanda Sydney Agustin, 31, penterjemah Sim Tze Wei, 28, dan arkitek perisisn Leong See See, 41 -- memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan SPR sebagai responden tunggal. 

Mereka memohon, antara lain, satu deklarasi bahawa mereka warganegara Malaysia dan mempunyai hak untuk didaftarkan sebagai pengundi tidak hadir dan perintah mandamus untuk memaksa EC mendaftarkan mereka sebagai pengundi tidak hadir dan perintah lain yang akan membolehkan mereka didaftarkan sebagai pengundi tidak hadir atau pengundi pos pada pilihan raya umum akan datang. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment