My Add

Friday 6 January 2012

Enam nelayan Malaysia pulang selepas dipenjara di Indonesia

MELAKA, JUMAAT, 06 Januari, 2012: Enam nelayan Malaysia yang dipenjara hampir 10 bulan oleh pihak berkuasa Indonesia kerana didakwa menceroboh perairan negara itu selamat tiba di tanah air hari ini selepas mendapat pengampunan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono. 

Semua mereka serta seorang lagi nelayan warga Indonesia yang ditahan di perairan antarabangsa antara Malaysia dan Indonesia pada 8 Mac tahun lalu, dibebaskan daripada Penjara Bengkalis kelmarin selepas Presiden Indonesia menawarkan pengampunan iaitu pengurangan hukuman penjara tiga tahun tiga bulan dan menghapuskan denda satu milyar Rupiah (RM350,000) seorang.

Pengadilan Negeri Bengkalis pada 5 Mei 2011 menjatuhkan hukuman enam bulan penjara serta denda satu milyar Rupiah terhadap semua mereka sebelum kes itu dibawa ke Mahkamah Agung di Jakarta.

Bagaimanapun, mahkamah itu memutuskan hukuman penjara dinaikkan kepada empat tahun serta denda dengan jumlah sama dan enam bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut. 

Jamil Mohd Top, 53; Mohd Zamri Hambali, 26; Rosli Abd Rashid, 34; Zainodin Adam, 53; Ridzwan Aris, 35; Ibrahim Mohd Kasim, 29; tiba di Jeti Feri Banda Hilir di sini kira-kira 1.30 tengah hari dengan menaiki feri dari Bengkalis dan disambut ahli keluarga dalam satu pertemuan penuh kesyukuran. 

Seorang daripada nelayan berkenaan, Ridzwan berkata pengalaman dipenjarakan selama hampir 10 bulan di Indonesia memberi sedikit tekanan dan pengajaran berharga kepadanya setelah 15 tahun menjadi nelayan. 

Beliau berkata, pelbagai perkara difikirkan termasuk kehidupan isteri dan tiga orang anak yang bergantung harap sepenuhnya kepadanya dalam mencari rezeki untuk keluarga. 

"Perkara itu berlaku amat pantas dan sepanjang 10 bulan dipenjarakan saya tidak putus-putus berdoa agar dapat kembali ke pangkuan keluarga yang sememangnya menanti kepulangan saya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini. 

Namun, dia bersyukur kerana diberi layanan baik sepanjang berada di penjara republik itu sebelum mendapat pengampuan daripada Presiden Indonesia. 

"Saya dan enam rakan lain berasa amat gembira dan tidak dapat tidur kerana terlalu seronok dengan berita pengampunan yang disampaikan," katanya. 

Ridzwan berkata, dia akan terus menjadi nelayan dan mengambil langkah berhati-hati selepas ini bagi mengelak perkara sama berulang. 

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, yang turut hadir di jeti berkenaan berkata pembebasan semua nelayan yang berasal dari Pontian, Johor terbabit adalah suatu peristiwa bersejarah dan mencerminkan keharmonian hubungan Malaysia-Indonesia. 

"Ini adalah sejarah kerana tidak pernah berlaku rakyat Malaysia menerima pengampunan Presiden Indonesia...saya amat menghargainya," katanya. 

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang berbincang dengan rakan sejawatnya di Indonesia berhubung perkara berkenaan sehingga membawa kepada pembebasan semua nelayan itu. 

"Saya sudah memaklumkan mengenai perkara ini kepada Perdana Menteri dan beliau amat gembira dengan perkhabaran baik ini," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment