My Add

Monday, 23 January 2012

Najib gembira rakyat kekalkan tradisi Tahun Baru Cina


TRADISI MALAYSIA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional lain mengaul 'yee sang' pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Wisma MCA di Kuala Lumpur hari ini. Turut sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. - Effendy Rashid


KUALA LUMPUR, ISNIN, 23 Januari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa gembira kerana sambutan Tahun Baru Cina kali ini terus dikekalkan dengan tradisi rumah terbuka yang disertai oleh pelbagai kaum daripada semua lapisan masyarakat negara ini termasuk para pemimpin.

Perdana Menteri berkata, keadaan harmoni itu adalah sesuatu yang sungguh besar nilainya yang tidak boleh dipandang ringan dan perlu diperkukuhkan sebagai satu tradisi serta pegangan oleh semua rakyat Malaysia.

Beliau seterusnya mengucapkan selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh kaum Tionghua dan berharap tahun ini akan dapat mengukuhkan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

"Mengikut kepercayaan kaum Cina, tahun ini Tahun Naga Air di mana tahun ini dikira baik untuk perniagaan.

"Mudah-mudahan tahun ini melihat kepada pengukuhan ekonomi negara kita dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam lintas langsung bersama RTM selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA di sini hari ini.

Najib rai Tahun Baru Cina bersama parti komponen BN

Najib bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama pemimpin dan parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA dan Gerakan, di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, yang diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, pagi ini menghadiri rumah terbuka MCA di ibu pejabatnya di Jalan Ampang pagi ini. 

Ketibaan Najib pada pukul 9.50 pagi di rumah terbuka MCA di ibu pejabatnya di Jalan Ampang disambut oleh pemimpin MCA yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, serta paluan gendang, tarian naga dan singa.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, serta kedua-dua bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menteri-menteri Kabinet serta pemimpin BN yang lain, termasuk Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden MIC Datuk G. Palanivel dan Presiden PPP, Datuk Seri M. Kayveas turut hadir pada majlis tersebut.

Selepas itu, Najib dan isteri menghadiri rumah terbuka parti Gerakan di Menara PGRM, di Cheras.

Eesok, Perdana Menteri dijadual menghadiri rumah terbuka BN Pulau Pinang di Tanjong City Marina, Georgetown dan Sabtu ini pula akan menghadiri Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di Sitiawan, Perak. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment