My Add

Monday 23 January 2012

Tiada perbincangan barisan kepimpinan Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, ISNIN, 23 Januari, 2012: Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon hari ini berkata, isu penyusunan barisan kepimpinan parti gabungan itu di Pulau Pinang, termasuk siapa yang akan menjadi ketuanya, tidak dibangkitkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) November lalu.

Beliau berkata, mengikut perlembagaan parti gabungan itu, sebarang keputusan berhubung perkara tersebut perlu dibuat melalui perundingan dalam kalangan anggota Dewan Tertinggi BN.

"(Perkara) ini tidak dibangkitkan pada mesyuarat November lepas," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan barisan kepimpinan BN Pulau Pinang esok.

Najib dijadual menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina BN Pulau Pinang di Georgetown, petang esok.

Laporan portal berita berkenaan mendakwa BN akan menamakan Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow sebagai ketua parti gabungan itu di Pulau Pinang, manakala Dr. Teng Hock Nan akan terus menyandang jawatan ketua Gerakan negeri dalam usahanya menawan negeri itu daripada pakatan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Gerakan akan tampil calon pelbagai kaum

Sementara itu Gerakan akan menampilkan calon pelbagai bangsa mewakili parti itu pada pilihan raya umum akan datang. 

Dr Koh Tsu Koon, berkata parti itu akan memastikan calon yang dipilih berpotensi untuk menang mengikut kawasan yang ditandingi.
"Calon pelbagai bangsa adalah antara usaha Gerakan untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Kita akan memastikan calon yang dipilih itu mampu menang dan menjadi pilihan rakyat," katanya. 

Dr Koh berkata, parti itu juga akan secara berterusan memberikan khidmat cemerlang kepada rakyat pelbagai kaum. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment